Sumbangan Dalam Bidang Bio Komposit Layakkan Pensyarah UPM Raih Pengikhtirafan Dunia | FAKULTI KEJURUTERAAN
» ARTIKEL » Sumbangan Dalam Bidang Bio Komposit Layakkan Pensyarah UPM Raih Pengikhtirafan Dunia

Sumbangan Dalam Bidang Bio Komposit Layakkan Pensyarah UPM Raih Pengikhtirafan Dunia

Oleh Fitri Nizam (www.getaran.my)

KUALA LUMPUR - Jangan pernah berpuas hati dengan sesuatu kerja sedang dilakukan, sebaliknya terus mengintai peluang ke tahap tertinggi.

Itu falsafah hidup dipegang Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Ir Dr Mohd Sapuan Salit sehingga berjaya dalam bidang diceburi dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

Malah, beliau yang sudah berkecimpung dalam kejuruteraan sejak lebih 20 tahun lalu, banyak menabur bakti dalam bidang berkenaan dan usaha itu meletakkan namanya setanding tokoh barat.

Sumbangan beliau dalam kajian bahan komposit semula jadi (bio komposit), terutama di bidang kejuruteraan automotif bukan sedikit, sekali gus melayakkannya mendapat pengiktirafan dunia apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Komuniti Kejuruteraan Automotif (SAE) Antarabangsa di Detroit, Michigan, Amerika Syarikat, awal bulan ini.

Lebih membanggakan, Mohd Sapuan adalah tokoh pertama dari luar Amerika Syarikat yang menerima anugerah SAE Subir Chowdhury Medal of Quality Leadership.

Berkongsi lanjut kisah kejayaannya, beliau berkata, sumbangannya dalam bidang kejuruteraan automotif yang diberi pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan hasil kajiannya terhadap penciptaan komponen kenderaan dengan menggunakan bahan daripada sumber alam semula jadi.

Menurutnya, beliau banyak membuat kajian mengenai penggunaan bahan bio komposit yang terdiri daripada gentian metrik dan polimer bagi kegunaan industri automotif.

“Antara komponen dihasilkan menggunakan kaedah ini adalah bumper, padel, ‘anti roll bar’, pintu dan tuil gear kereta.

“Setakat ini semua penghasilan tersebut masih di peringkat kajian, tetapi kami pernah bekerjasama dengan syarikat Proton untuk menggunakan bahan itu ke atas kenderaannya namun masih belum dikomersialkan lagi,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Mohd Sapuan berkata, penyelidikannya terhadap bahan bio komposit tidak terhenti di situ dan ia diteruskan dalam penghasilan perabot.

“Kini kami dalam rangka untuk menghasilkan kerusi pejabat dengan menggunakan bahan bio komposit hasil kerjasama dengan sebuah syarikat perabot antarabangsa.

“Bagaimanapun, ia masih di fasa penyelidikan dan akan mengambil sedikit masa untuk dihasilkan,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaiannya yang diiktiraf komuniti kejuruteraan antarabangsa, anak jati Teluk Intan, Perak itu berkata, ia adalah sesuatu yang amat membanggakannya kerana dapat 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan jurutera dari syarikat automotif gergasi di seluruh dunia.

Jelasnya, daripada 20 kategori yang diiktiraf, beliau orang ketiga yang dipanggil untuk ke pentas bagi menerima anugerah tersebut.

Malah, katanya, semakin membanggakan dirinya adalah apabila semua calon penerima pengiktirafan tersebut bukan calang-calang.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka memiliki kepakaran dalam bidang automotif dari universiti terkemuka di Amerika Syarikat dan syarikat gergasi, antaranya General Motors, Dynax Corp, Caterpillar Inc serta JD Power.

“Jadi sebagai rakyat Malaysia, saya amat bangga kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Sapuan pernah menerima anugerah Outstanding Technical Paper Award pada tahun 2017 daripada SAE International Malaysia.

Beliau adalah Fellow SAE pertama dari Malaysia yang dilantik pada tahun 2015. - Getaran, 16 April 2022

Sumber: https://www.getaran.my/artikel/pendidikan/22363/sumbangan-dalam-bidang-bio-komposit-layakkan-pensyarah-upm-raih-pengiktirafan-dunia

Tarikh Input: 18/04/2022 | Kemaskini: 11/05/2022 | no.j

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEUEAM~