“KENDERAAN USANG UPM BERUSIA HAMPIR 50 TAHUN KINI BERNADI MUDA SEMULA” Majlis Penyerahan Kenderaan “Mini Moke Austin Morris” Oleh Fakulti Kejuruteraan Kepada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » “KENDERAAN USANG UPM BERUSIA HAMPIR 50 TAHUN KINI BERNADI MUDA SEMULA” Majlis Penyerahan Kenderaan “Mini Moke Austin Morris” oleh Fakulti Kejuruteraan kepada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia

“KENDERAAN USANG UPM BERUSIA HAMPIR 50 TAHUN KINI BERNADI MUDA SEMULA” Majlis Penyerahan Kenderaan “Mini Moke Austin Morris” oleh Fakulti Kejuruteraan kepada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia

Serdang, 24 November 2022 – Walaupun pada mulanya nampak seperti besi lama tetapi setelah dibaik pulih,  pastinya memiliki nilai premium yang boleh dimanfaatkan. Ini terbukti apabila Kenderaan Usang UPM berusia hampir 50 tahun, iaitu, “Mini Moke Austin Morris”, yang telah lama tidak bergerak, kini bernadi muda semula setelah melalui proses penilaian dan restorasi oleh Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin berkata, usaha melaksanakan penilaian dan projek restorasi giat dilaksanakan dengan jayanya untuk diserahkan kepada Naib Canselor UPM dalam tahun 2022 juga agar ianya selaras dengan penghujung tahun Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM dan bersempena Sambutan Majlis Konvokesyen UPM ke-46 yang juga menghampiri 50 tahun penganjurannya.

Majlis penyerahan Kereta “Mini Moke Austin Morris” berwajah baharu ini, dilaksanakan pada 24 November 2022 oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Dr Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin kepada Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dengan disaksikan oleh barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UPM dan Ahli Pengurusan Fakulti Kejuruteran, UPM.

Idea untuk mengguna pakai semula kenderaan ini adalah cetusan daripada YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dengan meminta pihak Fakulti Kejuruteraan untuk membuat penilaian dan membaik pulih sekiranya masih ekonomik untuk dibaiki.

Memandangkan kereta ini usang dan lama (berdaftar pada tahun 1973), yang layak di gelar “antik” atau “vintaj”, maka banyak komponen perlu difabrikasi secara manual dan keperluan ketelitian dalam pencarian alat ganti, menyebabkan penilaian mengambil masa yang agak lama, iaitu bermula seawal Mac 2022 lagi.  Pelaksanaan projek restorasi kenderaan dilaksanakan pada Oktober – November 2022 setelah mengenal pasti kos yang optimum lanjutan daripada penilaian terperinci yang dilaksanakan. Pasukan Fakulti Kejuruteraan yang melaksanakan Projek Restorasi, diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Khairol Anuar Mohd Ariffin sendiri, pakar dalam bidang Pembuatan; serta dibantu rapat oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi),  Prof Madya Ir. Dr. Mohd Khair Hassan, pakar dalam bidang Automotif Elektronik;  dan Pensyarah/Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Prof. Madya Dr. Eris Elianddy Supeni yang pakar dalam bidang struktur dan bahagian badan kenderaan. Ketiga-tiga mereka merupakan Alumni UPM. Selain menggunakan dana UPM, untuk menjayakan Projek Restorasi ini, pihak Fakulti Kejuruteraan juga berjaya mendapatkan penajaan dalam bentuk khidmat tenaga kerja daripada Protect Master Coach Sdn. Bhd (PMC), yang juga merupakan Alumni UPM.

Kenderaan seumpama ini wajar dimanfaatkan semasa meraikan hari-hari istimewa seperti Majlis Konvokesyen. Justeru, bersempena dengan pelaksanaan Majlis Konvokesyen UPM Ke-46, Pusat Alumni UPM dipertanggungjawabkan untuk memanfaatkan penggunaan kenderaan unik ini semasa Majlis dan Pesta Konvokesyen nanti, bermula 26 November 2022.

link video | https://bit.ly/VideoMoke 









Tarikh Input: 24/11/2022 | Kemaskini: 25/11/2022 | ahmadadib

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDdIA6~