KERJASAMA STRATEGIK UPM – AIRASIA : LIVERY UPM PADA PESAWAT AIRASIA DILANCARKAN | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » KERJASAMA STRATEGIK UPM – AIRASIA : LIVERY UPM PADA PESAWAT AIRASIA DILANCARKAN

KERJASAMA STRATEGIK UPM – AIRASIA : LIVERY UPM PADA PESAWAT AIRASIA DILANCARKAN

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto oleh Marina Ismail

SEPANG, 12 Sep - Rakan strategik Universiti Putra Malaysia (UPM), AirAsia iaitu syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia yang berpengkalan di Malaysia telah menghasilkan livery pada sebuah pesawatnya, hasil rekaan oleh Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM.

Idea untuk UPM mengemukakan rekabentuk livery itu tercetus daripada perbincangan pegawai pengurusan UPM yang diketuai oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di pejabat AirAsia pada 20 Jun, 2016.

Prof. Datin Paduka Dr Aini berkata paparan livery jenama Universiti Putra Malaysia pada pesawat Airbus 320 dengan nombor pesawat 9MAQD tidak berunsur komersil dan mula kelihatan pada 2 Ogos, 2017 di ruang angkasa.

“AirAsia telah menyediakan platform kepada UPM untuk menghasilkan rekaan, kreativiti dan seni dalam projek berimpak tinggi. Sewajarnya selepas ini, UPM boleh menawarkan kepakaran dalam bidang rekaan seperti mana kejayaan rekaan livery UPM pada pesawat AirAsia.

“Sebagai rakan strategik UPM, Tan Sri Tony mengenepikan aspek komersil dalam projek ini tetapi mementingkan ilmu, di mana institusi pendidikan tinggi perlu dimartabatkan,” katanya.

Beliau berkata hasil sumbangan dan respon berimpak tinggi Tan Sri Tony terhadap kerjasama strategik UPM- AirAsia itu merangkumi mobiliti pelajar dan staf, internship program high flyer AirAsia dan kerjasama akademik program eksekutif dan penyelidikan berteraskan bidang aero angkasa.

 

“Pengurusan universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Tony dan pengurusan AirAsia yang telah membenarkan imej UPM terbang lebih tinggi di awan biru.

“Tidak lupa juga terima kasih kepada rakan penaja iaitu Sepang Aircraft Engineering (SAE), An AIRBUS company yang telah menyediakan hangar pesawat pada majlis hari ini.

“UPM juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh atas komitmen dan sokongan kerjasama dalam mencetuskan idea program CEO@Faculty,” katanya.

Tan Sri Tony dilantik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai CEO@Faculty Programme untuk UPM bagi tahun 2016/2017 supaya berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama pelajar dan staf UPM.

Pada 19 April, 2016, Tan Sri Tony telah berkongsi pengalamannya dengan mendapat sambutan hebat warga UPM di Serdang dan seterusnya mengumumkan UPM sebagai Universiti Rasmi AirAsia.

Usaha pasukan rekabentuk livery pesawat bermula pada bulan Julai tahun 2016 apabila Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo mencapai persetujuan dengan Tan Sri Tony untuk menghasilkan livery UPM pada pesawat AirAsia.

Seterusnya Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM, Prof. Madya LAr. Dr Osman Mohd Tahir bersama pensyarah kanan Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Shahrul Azman Shahbudin dan pereka FRSB, Arizy Valentino Ramu telah berusaha merealisasikan hasrat berkenaan.

“Livery pesawat ini telah menggunakan konsep imej,motif dan warna korporat UPM dari logo rasmi UPM dan digabungkan dengan motif pokok ikonik UPM iaitu pokok Hujan-hujan (Rain Tree) yang memaparkan kampus hijau UPM nombor satu di Malaysia.

“Pokok ikonik UPM atau nama saintifiknya Entrolobium Cyclocarpum yang berada di Taman Pertanian Universiti ini kerap digunakan oleh penggambaran televisyen, akhbar dan majalah,” kata Prof. Dr.-Ing. Ir. Renuganth.

Majlis pelancaran UPM-AirAsia : Livery UPM di Sepang Aircraft Engineering (SAE) New Hangar, Sepang, hari ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh serta turut dihadiri Tan Sri Tony dan Prof. Datin Paduka Dr. Aini.

Turut hadir ialah Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad & CEO Kumpulan, AirAsia X; Professor Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, UPM; Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Presiden Persatuan Alumni UPM dan Pierre Y. Reville, CEO Sepang Aircraft Engineering.

 

Tarikh Input: 12/09/2017 | Kemaskini: 13/09/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDcVAi~