MAJLIS BERSAMA ALUMNI SEMPENA 30 TAHUN JABATAN KEJURUTERAAN AWAM | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » MAJLIS BERSAMA ALUMNI SEMPENA 30 TAHUN JABATAN KEJURUTERAAN AWAM

MAJLIS BERSAMA ALUMNI SEMPENA 30 TAHUN JABATAN KEJURUTERAAN AWAM

MAJLIS BERSAMA ALUMNI SEMPENA 30 TAHUN JABATAN KEJURUTERAAN AWAM


Serdang, 19 Ogos - Tahun 2015 telah menandakan genapnya 30 tahun penubuhan Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Putra Malaysia. Bersempena dengan itu, Jabatan Kejuruteraan Awam, dengan sokongan Fakulti Kejuruteraan dan Universiti Putra Malaysia telah mengadakan satu majlis makan malam bersama alumni Jabatan Kejuruteraan Awam untuk menyambut ulang tahun berkenaan pada 19 Ogos 2016. Majlis ini telah diadakan di Foyer Fakulti Kejuruteraan, UPM untuk memberi peluang kepada alumni Jabatan Kejuruteraan Awam untuk kembali ke UPM, dan melihat sendiri pencapaian Jabatan Kejuruteraan Awam pada masa kini. Majlis yang bermula pada pukul 8 malam telah diuruskan oleh 47 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada staf Jabatan Kejuruteraan Awam dan dibantu ahli Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam, (CESC). Untuk majlis ini, Prof Madya Ir. Dr. Raizal Saifulnaz bin Muhammad Rashid selaku ketua jabatan telah bertindak sebagai Penaung sementara Dr. Syazwani bt. Idrus sebagai Pengarah Program. 

 
 Perbualan mesra diantara mantan ketua jabatan kedua, Prof Ir. Megat
Johari (paling kiri), mantan ketua jabatan ketiga,
Dato` Ir. Abang Abdullah (paling kanan) dan mantan ketua jabatan
keenam, Prof Dato` Ir. Dr. Mohd Saleh (tengah)
Pemandangan semasa majlis sedang berlangsung
   
Pensyarah-pensyarah jabatan, dari kiri, Prof Madya Dr. Hussain,
Prof Dr. Husaini dan Prof Madya Ir. Salihudin bergambar di meja
makan VIP
Ketua jabatan semasa, Prof. Madya Ir. Dr. Raizal Saifulnaz bergambar
kenang-kenangan dengan jawatankuasa PROTEM yang dilantik,
dari kiri saudari Liew Yoke Lian (graduat tahun 2000),
En. Muhamad Maznillah (1990),Prof. Madya Goh Boon Hoe (2001),
En. Mutaza Md. Noh (1998) 

Seramai hampir 200 orang alumni yang terdiri daripada pelajar kumpulan pertama (tahun bergraduat 1985), sehingga yang terkini telah bersama-sama menjayakan majlis ini. Selain alumni, majlis ini juga telah dihadiri oleh staf Jabatan Kejuruteraan Awam, termasuklah staf akademik, teknikal dan pentadbiran, serta staf yang telah bersara. Majlis yang gilang gemilang ini juga telah diserikan lagi dengan kehadiran mantan-mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, iaitu Ir. Dr. Syed Mansor, Dato` Ir. Abang Abdullah, Prof. Ir. Megat Johari, Prof Dato` Ir. Dr. Mohd Saleh, dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim. Di dalam majlis ini, mantan ketua jabatan yang pertama iaitu Ir. Dr. Syed Mansor Syed Junid telah diberi penghormatan untuk merasmikan majlis.

Pada majlis ini juga dilancarkan buku 30 tahun jabatan yang mencakupi pencapaian dan sejarah jabatan selain menjadi simbol keakraban dan kegemilangan warga dan alumni Jabatan Kejuruteraan Awam. Selain itu, menyedari bahawa penyatuan di antara jabatan dan para alumni merupakan satu aspek penting dalam  mencipta kejayaan yang lebih bemakna, satu jawatankuasa protem telah diumumkan semasa majlis, yang akan menjadi penggerak kepada penubuhan chapter alumni kejuruteraan awam UPM.

Majlis Bersama Alumni Sempena 30 Tahun Jabatan Kejuruteraan Awam yang dianjurkan ini, selain bertujuan untuk menyambut ulangtahun ke-30 penubuhan Jabatan Kejuruteraan Awam, juga menjadi sebagai satu platform bagi mengukuhkan hubungan stategik di antara alumni dan alma mater. Di samping itu, bagi mendokong aspirasi Putra Global 200 (PG200) iaitu hasrat Universiti Putra Malaysia untuk tersenarai dalam kedudukan 200 universiti terbaik dunia pada tahun 2020 maka penganjuran majlis ini diharapkan dapat  melestarikan jalinan di antara Jabatan Kejuruteraan Awam bersama alumni. Adalah diharapkan program-program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan hubungan baik di antara jabatan dan alumni dapat diperkasakan. 


Logo rasmi majlis, yang diabadikan sebagai satu arca semasa majlis


Tarikh Input: | Kemaskini: | farahidayu

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDdAAH~