Menteri Serah “E-Cutter” UPM Kepada Peneroka FELDA | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Menteri serah “E-Cutter” UPM kepada peneroka FELDA

Menteri serah “E-Cutter” UPM kepada peneroka FELDA

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Noor Azreen Awang

HULU SELANGOR, 20 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh menyerahkan mesin E-Cutter kepada peneroka Felda Hulu Selangor pada Program Penyelidikan Translasional: E-Cutter Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Zon Hulu Selangor.

Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan 10 unit mesin itu bagi merealisasikan hasrat kementerian dalam pelaksanaan penyelidikan translasional. Secara keseluruhannya peneroka FELDA akan menerima 1,000 unit mesin E-Cutter secara berperingkat untuk diguna pakai ketika menuai buah dan mencantas pelepah kelapa sawit.

E- Cutter merupakan inovasi mesin pencantas elektrik yang menggabungkan konsep pacuan kuasa elektrik dan mekanikal bagi menggerakkan pahat dan sabit pada galah komposit.

Datuk Seri Idris berkata inovasi E-Cutter UPM mampu menyelesaikan masalah dan memudahkan kerja perladangan terutama dalam industri kelapa sawit. 

“Inovasi ini mampu diterjemahkan demi manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, dan Datuk P Kamalanathan; Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Anuar Malek.

Penyelidik UPM dari Fakulti Kejuruteraan, Prof. Madya Ir. Dr. Norhisam Misron dan Pegawai Penyelidik MPOB, Abdul Razak Jelani mengambil masa lima tahun melakukan penyelidikan bagi menghasilkan E-Cutter.

“Ciri-cirinya yang kurang getaran dan mampu mencapai aras tuaian sehingga 30 meter merupakan faktor penting bagi menerokai dimensi baharu penuaian berteknologi pada masa akan datang,” kata Prof. Madya Ir. Dr. Norhisam.

Sementara itu Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berharap agar UPM menjadi universiti penyelidikan terbaik di Malaysia dan dunia yang dapat terus berkongsi inovasi teknologi kepada komuniti.

“Diharapkan masyarakat dapat memanfaatkan inovasi yang diberikan dan secara tidak langsung dapat menjadi motivasi kepada anak-anak muda untuk belajar dan meningkatkan taraf kehidupan untuk mengubah sosio-ekonomi masyarakat katanya.

Turut diadakan adalah penyerahan produk komersil UPM iaitu Kit Bijak Wang kepada 11 buah sekolah sekitar FELDA Zon Hulu Selangor dan sumbangan bantuan pengajian kepada 10 anak-anak FELDA yang belajar di UPM.

Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan 2017 sebagai tahun penyeldikan translasional untuk memastikan penyelidikan mampu menyelesaikan isu nasional dan antarabangsa. Program itu juga merupakan satu inisiatif kementerian untuk menggabungkan industri sawit negara. - UPM

Tarikh Input: 01/08/2017 | Kemaskini: 01/08/2017 | khairulazman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDdVAW~