Himpun Jurutera Pertanian | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » HIMPUN JURUTERA PERTANIAN

Himpun jurutera pertanian

Himpun jurutera pertanian

Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia (MSAE) yang ditubuhkan pada 1982 adalah organisasi profesional teknikal yang bergiat aktif dalam aspek kejuruteraan dan teknologi membabitkan industri pengeluaran pertanian, makanan serta sumber bahan biologi berkaitan. 

Presiden MSAE Prof Madya Dr Rosnah Shamsudin berkata, setakat ini, lebih 1,500 jurutera pertanian dan pembantu teknikal kejuruteraan pertanian di negara ini yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sektor itu. 

Beliau berkata, profesion jurutera pertanian berdaftar di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan ahli MSAE terdiri daripada ahli Institut Jurutera Malaysia (IEM) manakala pengasas MSAE daripada kalangan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

“Bidang pertanian memerlukan kepakaran dalam pelbagai ilmu asas kejuruteraan seperti kejuruteraan awam, mekanikal, elektronik dan kimia yang disokong dengan ilmu sains asas lain seperti ekonomi, pengurusan dan teknologi maklumat (IT). 

“Penggabungan semua ilmu ini digunakan untuk membangun bidang baru yang dipanggil kejuruteraan pertanian. 

“Justeru, kejuruteraan pertanian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu disiplin kejuruteraan yang mengguna prinsip kejuruteraan dan sains dalam mereka bentuk sistem yang selamat, cekap serta mapan untuk pengeluaran, pemprosesan dan pengurusan pertanian, makanan serta sumber bahan biologi,” katanya. 

Dr Rosnah berkata, MSAE bermatlamat mempromosi bidang kejuruteraan pertanian dan kerjaya berkaitan dengan bidang berkenaan. 

“MSAE diharap dapat menjadi platform bagi menggalak kemajuan profesional ahlinya serta mengembangkan peranan, perkongsian dan kerjasama di antara jurutera, saintis dan ahli teknologi yang terbabit dalam sektor pertanian dan makanan. 

“Selain itu, MSAE juga bertindak meluaskan pembabitan jurutera pertanian dalam isu keselamatan makanan negara. 

“Matlamat penubuhan MSAE ialah sebagai inspirasi terhadap aktiviti yang dilaksanakan agar bersifat global. Pelbagai aktiviti seperti seminar, bengkel dan forum sudah dilaksanakan bagi memberi pendedahan, pengetahuan dan perkongsian ilmu serta pengalaman dalam kalangan ahli,” katanya. 

Menurutnya, dalam usaha mempertingkatkan kepentingan sejagat jurutera pertanian, MSAE turut menjalankan kerjasama dengan persatuan seumpama itu di luar negara. 

“Antara lain, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani di antara MSAE dengan Korean Society of Agricultural Machinery (KSAM) dan Persatuan Jurutera Pertanian Indonesia (ISAE). 

“Beberapa kerjasama dengan negara serantau lain masih dalam proses perbincangan. Di peringkat nasional, MSAE menandatangi nota persefahaman (NoU) dengan Politeknik Kota Bharu, Kelantan. 

“Ahli MSAE juga aktif mengadakan jaringan industri dengan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), FELDA, Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan pihak industri yang berkait rapat dengan pertanian dan makanan,” katanya.

Beliau berkata, lawatan teknikal ahli MSAE ke industri bertujuan mengenal pasti masalah dan penyelesaian bagi kemajuan industri makanan dan pertanian. 

“Bagi memupuk kefahaman mengenai kejuruteraan pertanian di peringkat pelajar, MSAE mempunyai sayap pelajar yang dikenali sebagai MSAE-Student Chapter (MSAE-SC). 

“Sehingga kini, MSAE mempunyai empat MSAE-SC di institusi yang menawarkan program kejuruteraan pertanian sama ada di peringkat ijazah sarjana muda atau diploma di Malaysia iaitu MSAE-SC (UPM Serdang), MSAE-SC (UPM Bintulu), MSAE-SC (Politeknik Kota Bharu) dan MSAE-SC Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). 

“MSAE juga mempunyai program tahunan dikenali sebagai MSAE-Student Chapter Annual Regional Convention (ARC),” katanya. 

Dr Rosnah berkata, melalui program ARC, wakil pelajar kejuruteraan pertanian di seluruh negara akan berkumpul dan menjalani aktiviti yang dirancang. 

“Aktiviti berunsur kejuruteraan pertanian turut diadakan seperti pertandingan traktor mini, pembentangan mengenai isu pertanian sejagat, aktiviti riadah, persembahan kebudayaan dan lawatan teknikal. 

“ARC juga mengundang wakil pelajar dari Indonesia yang menawarkan program sama seperti Universitas Andalas Padang, Universitas Gadja Mada Jogjakarta dan Universitas Pertanian Bogor. 

“Secara tidak langsung persefahaman antara MSAE-SC akan terjalin dan diharapkan semangat cintakan profesion kejuruteraan pertanian dapat dipupuk pada peringkat pelajar lagi,” katanya.

Katanya, MSAE turut memberi pengiktirafan kepada pakar di bidang pertanian dan makanan negara, iaitu 13 orang dengan keahlian Fellow manakala 35 lagi keahlian Profesional.

“MSAE menganugerahkan ahli kehormat kepada Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dan Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamaruddin Hussin sejajar dengan sumbangan mereka dalam bidang pertanian,” katanya. 

MSAE mempunyai Facebook atas nama Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia manakala laman sesawang MSAE ialah www.msae.upm.edu.my. 

Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 13 Oktober 2015 @ 9:40 AM
Oleh Mohamad Hussin mohamad_hussin@hmetro.com.my
- See more at: http://www1.hmetro.com.my/node/84733?m=1#sthash.YMxjXRjM.dpuf

himpunan



Updated:: [farahidayu]

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466262
0386567099
C1498225481