Ladang Agro-PV : Herba Misai Kucing Tiga Kali Ganda Besar | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » Ladang Agro-PV : Herba misai kucing tiga kali ganda besar

Ladang Agro-PV : Herba misai kucing tiga kali ganda besar


Ladang Agro-PV : Herba misai kucing tiga kali ganda besar

Kosmo, 13 Januari - DARI jauh kelihatan seorang lelaki sedang menyusun anak pokok untuk dipindahkan ke satu kawasan bagi melindunginya daripada pancaran terik matahari.

Bila diamati anak-anak pokok tersebut merupakan herba misai kucing. Ia dipindahkan oleh Dr. Mohammad Effendy Yaacob di bawah panel sistem solar yang terletak di Ladang Agro-PV UPM yang terletak bersebelahan Hutan Simpan Puchong, Selangor.

“Pokok herba misai kucing yang diletakkan di bawah panel solar akan mencapai tempoh matang lebih cepat berbanding penanaman di bawah kondisi normal.

“Kajian fisiologi peringkat awal mendapati, saiz pertumbuhan herba misai kucing di bawah panel solar terutamanya di bahagian daun, pucuk dan misai adalah tiga kali ganda besar berbanding biasa,” katanya yang merupakan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Mohammad Effendy berkata, tumbuhan herba itu dipilih berikutan kehidupannya di habitat asal di hutan yang terlindung daripada pancaran terik matahari.

“Herba Misai Kucing atau nama saintifiknya, Orthosipon Stamineus didapati sesuai untuk penanaman itu setelah menjalani uji kaji lapangan di tapak teknologi Solar Fotovoltaik (PV) berkapasiti 10kWp.

“Hasil pemerhatian fizikal mendapati, tumbuhan ini tumbuh sihat dan aspek-aspek morfologi dipertingkatkan setanding keadaan biasa. Akar dan cabang tumbuhan adalah segar yang menunjukkan pertumbuhan agresif serta ia boleh dituai dalam masa ditetapkan iaitu sekitar tiga bulan,” jelasnya.

Tambahnya, herba misai kucing yang ditanam di bawah panel solar itu selamat dan bebas daripada sebarang radiasi.

“Sampel herba misai kucing yang ditanam di bawah panel solar ini telah dihantar ke makmal klinikal untuk pengujian asas menentukan adakah ia selamat dimakan.

“Ujian dijalankan berdasarkan kepada syarat-syarat dari Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPCB) sebagai garis tapak untuk makanan tambahan.

Keputusan menunjukkan yang herba itu selamat dimakan dan mempunyai kandungan protein yang baik,” jelasnya.

Penjanaan tenaga elektrik daripada sinaran matahari bukanlah suatu perkara baharu malahan ia telah lama diperkenalkan.

Tenaga suria adalah antara tenaga yang boleh diperbaharui dan ia lebih selamat, mesra alam dan tidak akan habis seperti tenaga konvensional iaitu minyak dan gas.

Kebanyakan negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman telah menggunakan tenaga suria sebagai satu alternatif untuk menjana tenaga elektrik.

Namun jarang sekali kita melihat ada pihak yang mengambil inisiatif untuk menggunakan ruang terbiar di bawah panel solar untuk mengusahakan tanaman berasaskan pertanian.

Namun Fakulti Kejuruteraan UPM melalui Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan dan Pusat Penyelidikan Kuasa dan Tenaga Maju telah menjalinkan kerjasama penyelidikan bersama pihak Solar System Power Sdn. Bhd. (SSPSB) untuk memfokuskan kepada operasi Ladang Agro-PV.

Di Ladang Agro-PV itu, UPM menanam pokok herba misai kucing di bawah panel solar tersebut untuk dijadikan produk makanan kesihatan tambahan iaitu Java Tea-PV.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz3x707wnJO
Hakcipta terpelihara

 


 


Updated:: [farahidayu]

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466262
0386567099
C1503282748