Gandingan Pakar Sukarela Universiti Putra Malaysia Menghasilkan Perisai Muka Covid-19 Untuk Wira Negara | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Gandingan Pakar Sukarela Universiti Putra Malaysia Menghasilkan Perisai Muka Covid-19 untuk Wira Negara

Gandingan Pakar Sukarela Universiti Putra Malaysia Menghasilkan Perisai Muka Covid-19 untuk Wira Negara

Semangat bersatu hati warga UPM telah merealisasikan kerjasama antara Putra Science Park (PSP), Fakulti Kejuruteraan (FK) dan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) bergandingan bagi menghasilkan pelindung muka khusus bagi keperluan wira negara membendung wabak Covid-19. Sokongan padu pihak pentadbiran tertinggi Universiti Putra Malaysia (UPM) dan tindakan pantas pihak terlibat dengan sukarela sepakat menyumbang demi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan terutamanya di Pusat Kesihatan UPM, Hospital Pengajar UPM dan Hospital Serdang.

 

Perkongsian maklumat melalui platform maya oleh semua pihak yang terlibat terhadap keperluan tenaga sukarela dan teknologi percetakan 3D bagi menghasilkan pelindung muka telah mencetus usaha murni tersebut bak kata pepatah, ringan sama dijinjing berat sama dipikul. Profesor Ir. Ts. Dr. Nor Kamariah Noordin, Dekan Fakulti Kejuruteraan menyatakan usaha murni ini adalah sebagai tanggungjawab sosial UPM kepada petugas barisan hadapan terutamanya di saat getir Covid-19. UPM telah meluluskan suntikan dana sebanyak RM6,000 bagi tujuan tersebut terutamanya pembelian bahan mentah. Selain itu, Jabatan Pangajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, NGO termasuk Malaysian Maker & 3D Printing Communities, Makers@University dan orang awam turut menyumbang.     

 

Putra Makers Space UPM yang berpusat di Fakulti Kejuruteraan UPM terdiri daripada 19 ahli dengan kerjasama semua makmal berkaitan di UPM mampu menghasilkan 200 pelindung muka sehari menggunakan 13 pencetak 3D. Profesor Madya Dr. Samsuzana Abd. Aziz menjangkakan mampu menghasilkan 5000 pelindung muka dalam tempoh 2 minggu dengan kelengkapan pencetak 3D baharu dan tambahan tenaga sukarelawan. Mereka menggunakan pelbagai jenis pencetak 3D termasuk jenis DIY seperti Creality Ender 3, Zotrax dan 4Max Pro, serta pencetak 3D ketahanan tinggi seperti Ultimaker. Mereka dalam persiapan untuk segera menyumbang secara percuma 1500 perisai muka kepada petugas barisan hadapan terutamanya di UPM. Dr Saiful Hasley Ramli memaklumkan, makmal Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina terdiri daripada 5 ahli dengan kemudahan 5 pencetak 3D mampu menghasilkan 40 pelindung muka sehari.  

 

Menurut Encik Muhammad Izzat Sabri, CEO Longe Medikal Sdn Bhd dengan tenaga 4 ahli dan kapasiti 3 pencetak 3D, mereka berupaya menghasilkan 45 pelindung muka sehari. Longe Medikal Sdn Bhd merupakan syarikat startup bimbingan InnoHub Putra Science Park UPM bagi mengkomersilkan teknologi dan inovasi UPM berkaitan bidang perubatan, jelas Profesor Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah PSP. Kombinasi kepakaran dan fasiliti pencetak 3D tersebut mampu memberi kekuatan dan kelebihan kepada UPM bagi menjayakan penghasilan pelindung muka yang sangat diperlukan oleh petugas barisan hadapan dalam tempoh krisis wabak Covid-19. Komitmen yang tinggi dan pengorbanan pihak yang terlibat sanggup bekerja dari makmal dan juga di rumah tanpa mengira masa dalam tempoh PKP amat dihargai.

 

Perisai muka tersebut adalah untuk memenuhi tanggungjawab sosial universiti dengan kos antara RM1.50 hingga RM2.50 seunit. Bahan mentah yang digunakan adalah filament PLA untuk percetakan 3D, plastic lutsinar dan getah. Pakar-pakar yang terlibat menitikberatkan reka bentuk yang memenuhi keperluan perlindungan terbaik. Pengujian teliti telah dijalankan di beberapa hospital. Pihak NGO turut bekerjasama mengumpul maklum balas daripada pengguna akan keberkesanan penggunaan perisai muka dengan reka bentuk terbaik. Pihak UPM juga mengalukan sumbangan semua pihak yang ingin turut sama menjayakan usahasama. Pemuafakatan dengan pihak luar juga diharapkan akan dapat melicinkan lagi dari segi penghantaran dan penyampaian perisai muka kepada pihak yang memerlukan. Pihak pakar UPM juga mensasarkan untuk membantu merekabentuk peralatan personal protective equipment (PPE) yang lain seperti ventilator valve dan kotak saringan Covid-19 kegunaan petugas barisan hadapan. Kerja sukarela dan usaha ini akan diteruskan sehingga penularan wabak Covid-19 berjaya dibendung.

 

    

 

 

  

Tarikh Input: 29/03/2020 | Kemaskini: 30/03/2020 | noraihan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEUGAe~