Prof Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit Terima Anugerah Tokoh Pekerja UPM (Akademik) 2021 | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Prof Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit Terima Anugerah Tokoh Pekerja UPM (Akademik) 2021

Prof Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit Terima Anugerah Tokoh Pekerja UPM (Akademik) 2021

Serdang, 24 Mei- Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia telah menerima Anugerah Tokoh Pekerja UPM 2021 (Akademik) bersempena dengan Majlis Gemilang Putra 2022. Sebagai tokoh pekerja UPM berikut adalah latar belakang dan pencapaian beliau yang tidak dapat dinafikan untuk diangkat sebagai Tokoh Pekerja UPM 2021 kategori akademik.

Mohd Sapuan Salit, 1984, St Kilda, Melbourne, Australia

Profesor Mohd Sapuan Salit telah dilahirkan di Kampung Sungai Nibong, Kota Setia, Teluk Intan, Perak pada 25 September 1965. Profesor Mohd Sapuan Salit telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai, Besar, Kota Setia, Teluk Intan, Perak, Sekolah Menengah Horley Methodist, Teluk Intan, Perak dan Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh, Perak. Setelah menperolehi keputusan cemerlang di peringkat SPM, beliau telah ditawarkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke Australia pada tahun 1984 di Brighton High School, Victoria untuk sijil HSC dan di University of Newcastle, New South Wales dan dikurniakan ijazah Bacelor Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) pada tahun 1990. Beliau telah menyabung pengajian di peringkat sarjana sains dalam bidang reka bentuk kejuruteraan di Loughborough University, Leicestershire, United Kingdom pada tahun 1994. Beliau telah dikurniakan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan bahan dari De Montfort University, Leicester, United Kingdom pada tahun 1998. 

Kharizmi International Award, 2013, Iran


Malaysia’s Research Star Award 2018

Profesor Mohd Sapuan telah ditawarkan jawatan tutor di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1994. Setelah memperolehi ijazah PhD beliau telah dilantik pensyarah di Jabatan Kejuruteran Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, UPM pada tahun 1998. Beliau telah dilantik sebagai pensyarah secara lantikan bersama di Pusat Penyelidikan Bahan Maju, di Institut Teknologi Maju (ITMA), UPM pada tahun 1999 sebagai salah seorang pengasas ITMA dan dilantik ketua pusat pada tahun 2001. Pada tahun 2002, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan profesor madya, dan jawatan profesor gred C pada tahun 2007. Profesor Mohd Sapuan dilantik Ketua, Jabatan Kejuruteraan Mekankal dan Pembuatan selama tiga tahun (2008-2011). Pada tahun 2011, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan profesor Gred B, dan pada tahun 2019, telah dinaikkan ke profesor Gred A. Profesor Mohd Sapuan juga adalah ketua pengasas bagi Kumpulan Penyelidikan Komposit Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan, UPM (2009-2018). Di samping itu beliau telah menjadi Ketua, Laboratori Biokomposit Teknologi, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM dari tahun 2014 hingga 2017 dan dari tahun 2020 hingga 2022. Profesor Mohd Sapuan adalah ketua pengasas bagi Pusat Penyelidikan Bahan Kejuruteraan dan Komposit Termaju, Fakulti Kejuruteraan, UPM dari tahun 2018 hingga ke hari ini.

Professor of Eminence Award, Aligarh Muslim University, India, 2019 

Bidang penyelidikan beliau adalah bahan komposit, bahan biokomposit, reka bentuk kejuruteraan, reka bentuk untuk pembuatan, reka bentuk serentak, reka bentuk untuk kelestarian, pempekejan bahan biokomposit, dan pemilihan bahan. Beliau adalah seorang jurutera profesional, Lembaga Jurutera Malaysia, Felo, Society of Automotive Engineers International USA, Felo, Akademi Sains Malaysia, Felo, Plastic and Rubber and Institute Malaysia, Felo, Malaysian Scientific Association, Felo, International Biographical Association dan Felo Institute of Materials Malaysia. Beliau adalah Ahli Kehormat dan Mantan Naib Presiden Asian Polymer Association dan Ahli Kehormat dan Pengurusi pengasas Persatuan Pembangunan dan Industri Enau Malaysia (PPIEM). Profesor Mohd Sapuan adalah Ketua Editor bagi jurnal yang baru dilancarkan di bawah PPIEM iaitu Journal of Natural Fibre Polymer Composites, Ketua Editor Bersama jurnal Functional Composites and Structures, dan ahli Lembaga editorial lebih daripada 24 buah jurnal.

 PUTRA FRAME, product commercialized

Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih daripada 2000 penerbitan termasuk 870 makalah jurnal, 55 buah buku dan 170 bab dalam buku. Profesor Mohd Sapuan telah membentangkan lebih 50 syarahan plenari dan ucaptama dalam konferensi, dan lebih 150 seminar jemputan. Beliau telah dijemput menjadi editor bagi isu khas bagi 32 jurnal, membentangkan lebih 500 kertas kerja di konferensi dan seminar, telah menilai lebih 1,300 makalah jurnal dan memiliki lapan paten. Beliau telah berjaya menyelia 92 orang pelajar PhD dan 70 pelajar Master serta 15 penyelidik pascadoctoral. H-index terkini beliau adalah 95 dengan bilangan sitasi sebanyak 33,322 dalam Google Scholar dan h-index 73 dengan bilangan sitasi sebanyak 20739 dalam Scopus.

 Anugerah Buku Negara 2018



Pelancaran buku Biobased Packaging semasa WOBIC Conference, Bangi, 2021

Beliau adalah penerima Anugerah Karyawan Putra Cemerlang, UPM, serta sembilan anugerah penyelidik cemerlang yang lain di peringkat UPM. Beliau juga adalah penerima anugerah ISESCO Science Award, Azerbaijan, Anugerah Fellowship Plastics and Rubber Institute Malaysia, Pemenang Pertama Anugerah Penerbitan, Forest Research Institute Malaysia (FRIM), anugerah Khwarizimi International Award, penerima SEARCA Regional Professorial Chair, anugerah Kuala Lumpur Royal Rotary Gold Medal Research Award, dua Anugerah Buku Negara, anugerah Endeavour Research Promotion Award dari TMU/IEEE India, anugerah Citation of Excellence Award, Emerald, UK, anugerah Malaysia’s Research Star Award, Elsevier/Kementerian Pendidikan Malaysia, anugerah Publons Peer Review Award, Publons, USA, anugerah Professor of Eminence, Aligarh Muslim University, India, anugerah Top Research Scientists’ Malaysia, Academy of Science Malaysia, Pingat Emas dalam Invention and Innovation Awards, Malaysia Technology Expo dan Anugerah Penerbitan PERINTIS, PERINTIS, Malaysia. Nama beliau tersenarai di kalangan the World Top 2% Scientists oleh Stanford University, USA. Beliau adalah finalis IET Achievement Award, UK dan SAE Subir Chowdhury Medal of Quality Leadership, Amerika Syarikat. 

Prof. Ir. Dr. Sapuan Salit menerima trofi dan sijil penghargaan semasa Majlis Gemilang Putra 2022

Dengan itu, pihak Fakulti Kejuruteraan mengucapkan sekalung tahniah di atas pencapaian cemerlang berterusan oleh Prof. Ir. Dr. Sapuan Salit. Semoga kejayaan beliau terus memberikan inspirasi dan aspirasi untuk warga Fakulti terus cemerlang dalam bidang yang diceburi dan membanggakan warga UPM.

 Trofi Anugerah Tokoh Pekerja UPM (Akademik)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 24/05/2022 | Kemaskini: 26/05/2022 | no.j

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDcRAA~