Serdang, 15 Januari 2025 – Pusingan Akhir Senada Putra 16 telah berlangsung dengan penuh meriah pada 14 dan 15 Januari 2025 di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah UPM. Senada Putra 16 telah membawa versi pertandingan dengan keterlibatan staf UPM sebagai peserta. Acara pusingan akhir terbahagi kepada dua iaitu nyanyian solo dan duet.
Fakulti Kejuruteraan telah diwakili oleh Ts. Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor, pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan. Beliau telah mendendangkan lagu Juwita Malam (nyanyian asal oleh Ismail Marzuki) yang kemudiannya dinyanyikan semula oleh sebuah kumpulan band Indonesia, Sisitipsi, manakala persembahan duet beliau telah digandingkan dengan peserta dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM dengan membawa lagu Aryati (nyanyian asal oleh Hendri Rotinsulu) yang turut dinyanyikan semula oleh kumpulan band Indonesia yang sama.

Pada malam penuh gemilang itu, Ts. Dr. Mohd Zuhair telah meraih kemenangan Anugerah Peserta Akademi Seni Terbaik dan Anugerah Persembahan Duo Terbaik. Disamping itu, Fakulti Kejuruteraan turut dinobatkan Anugerah Penyokong PTJ Teramai bagi penglibatan staf manakala Kolej 10 dianugerahkan Anugerah Penyokong Kolej Teramai bagi penglibatan pelajar.
Senada Putra 16 telah memberikan impak yang positif kepada semua warga UPM yang terlibat. Diharapkan melalui pertandingan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memberi ruang dan peluang kepada kepelbagaian bakat di UPM. Semoga kejayaan dan pengalaman yang diperoleh daripada pertandingan ini menjadi inspirasi kepada warga fakulti dalam membentuk kualiti peribadi yang cemerlang.
Fakulti Kejuruteraan merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan usaha semua warga fakulti daripada kalangan staf dan pelajar yang terlibat sebagai jawatankuasa bagi menjayakan pertandingan ini.
Date of Input: 17/01/2025 | Updated: 05/02/2025 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430