FAKULTI KEJURUTERAAN UPM RAIKAN JUBLI EMAS; LANCAR TUJUH (7) INISIATIF BERSTRATEGIK | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » FAKULTI KEJURUTERAAN UPM RAIKAN JUBLI EMAS; LANCAR TUJUH (7) INISIATIF BERSTRATEGIK

FAKULTI KEJURUTERAAN UPM RAIKAN JUBLI EMAS; LANCAR TUJUH (7) INISIATIF BERSTRATEGIK

Fakulti Kejuruteraan UPM, 17 Disember 2025 – Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) merasmikan sambutan Jubli Emas di Auditorium Jurutera Radin Umar, di sini hari ini, sebagai simbolik kepada lima dekad kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan inovasi kejuruteraan. Dengan tema “Golden Jubilee: Honoring the Past, Inspiring the Future”, majlis ini merupakan simbolik pementasan sejarah 50 tahun kegemilangan Fakulti Kejuruteraan. Ia bukan sekadar upacara pembukaan, malah ia juga merupakan satu manifestasi penghargaan terhadap warisan kecemerlangan dan dedikasi berterusan fakulti dalam memacu inovasi serta melahirkan teknokrat berkaliber di persada antarabangsa. 

Sejak penubuhannya pada tahun 1975, Fakulti Kejuruteraan UPM konsisten melakar pencapaian signifikan yang memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan teknikal terkemuka di persada nasional dan global. Rentetan kegemilangan ini dizahirkan melalui perolehan akreditasi antarabangsa, kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi, serta penghasilan graduan dan alumni berprestij. Kekuatan fakulti turut disokong oleh jalinan kerjasama strategik yang utuh bersama pelbagai pemain industri, agensi, dan institusi akademik merentas sempadan.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa pelancaran tujuh (7) inisiatif berstrategik bakal mencorak hala tuju Fakulti Kejuruteraan menjelang tahun 2026 dan seterusnya iaitu J.Farm, J.Walk, RetroSave 2.0, PG Lounge@Eng, Buddies@Eng, Projek UPM-KASTAM SmartPdP dan Projek UPM-DSV DigiLED.

“Kesemua inisiatif berstrategik  ini membuktikan komitmen fakulti terhadap kelestarian, inovasi, dan pengurusan sumber yang berkesan, sekaligus memperkukuh daya saing dan meletakkan fakulti  pada landasan untuk mencapai sasaran kewangan lebih tinggi pada masa hadapan.” katanya.

Dalam majlis ini juga, Yang Berbahagia Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor, UPM turut menyampaikan Bicara Profesional bertajuk “Engineering Professionalism – The Role of Higher Education for the Present and Future Generations”. 

Majlis yang dihadiri seramai 400 jemputan ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor, UPM bagi perasmian sambutan Jubli Emas dan pelancaran tujuh (7) inisiatif berstrategik Fakulti Kejuruteraan. Turut hadir memeriahkan majlis adalah Pengarah Kastam Negeri Selangor dan Pengarah Operasi Double Strategy Ventures Sdn. Bhd. yang merupakan rakan kolaborasi Fakulti Kejuruteraan.

Pelbagai program dan aktiviti menarik telah dirancang sempena sambutan Jubli Emas Fakulti Kejuruteraan yang berlangsung pada 17 hingga 20 Disember 2025. Sambutan ini merupakan platform terbaik untuk mempererat silaturahim, membina rangkaian kerjasama, dan menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan warga fakulti.

Date of Input: 22/12/2025 | Updated: 22/12/2025 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (09:10:18pm-09:15:18pm, 08 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]