Galak Golongan Muda Sertai Bidang Pemprosesan Dan Penggunaan Mesin IKS | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » Galak golongan muda sertai bidang pemprosesan dan penggunaan mesin IKS

Galak golongan muda sertai bidang pemprosesan dan penggunaan mesin IKS

Tambah jurutera pertanian : Galak golongan muda sertai bidang pemprosesan dan penggunaan mesin IKS

Beliau boleh dianggap Ratu Mesin kerana berjaya menghasilkan pelbagai jenis mesin berasaskan industri kecil dan sederhana (IKS) yang telah digunakan oleh pelbagai pihak. Bagaimanapun, selaku Presiden Persatuan Jurutera Pertanian Malaysia (MSAE) Prof. Madya Dr. Rosnah Shamsudin mahu lebih ramai golongan muda terlibat dalam bidang tersebut. Gologan muda perlu sebagai pewaris dan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang. Ikuti wawancara bersama beliau.

Selama berkecimpung dengan inovasi mesin, berapakah jumlahnya setakat ini dan apakah antara jenis mesinnya?

Secara keseluruhannya, saya mempunyai 22 harta intelek yang telah didaftarkan daripada 18 buah mesin yang telah dibangunkan. Dua buah mesin yang didaftarkan telah mendapat status granted patent, sebanyak 14 buah masih di bawah status patent pending , tiga buah didaftarkan di bawah utility innovation dan tiga buah didaftarkan di bawah reka bentuk industri. Mesin yang terbaharu iaitu yang dihasilkan pada tahun ini adalah pengektrak jus yang dibangunkan untuk mengekstrak jus buah limau bali daripada buahnya.

Sebelum ini, kita hanya dapat menikmati buah limau bali secara dimakan segar. Bagaimanapun dengan adanya mesin ini, kita boleh menikmati jus limau bali secara segar pula. Drupe dehusker adalah sebuah alat untuk mengasingkan sabut buah sawit daripada biji sawit. “Bioreaktor pula adalah sebuah mesin untuk menjalankan fermentasi ke atas produk pertanian seperti hampas soya. Pada masa sama, produk pertanian ini boleh dikeringkan terus mengikut tahap yang dikehendaki. Mesin penggerdan buah pintar adalah sebuah mesin yang mempunyai dua fungsi utama, untuk menimbang pelbagai jenis produk seperti buah-buahan atau sayur-sayuran dan terus mengredkan buah tersebut mengikut gred berat produk tersebut seperti S, M, L dan sebagainya.

Apakah perasaan Dr. apabila mesin tersebut berjaya dihasilkan dan sampai kepada pengguna?

Sebagai pereka bentuk dan pakar dalam penghasilan mesin tentulah saya berasa puas hati jika dapat digunakan dengan sepenuhnya. Mesin-mesin ini dibangunkan untuk membantu mempermudahkan menghasilkan produk-produk makanan terutamanya kepada IKS.

Berapa ramai pakar mesin yang kita miliki , Adakah jumlahnya banyak atau sedikit?

Pada pendapat saya, pakar dalam bidang reka bentuk ini ramai secara keseluruhannya dan sebahagian daripadanya adalah dalam bentuk mesin proses makanan dan pertanian. Untuk mengatakan jumlah yang betul-betul tepat agak sukar, kerana kemungkinan kurang pendedahan dalam khalayak ramai.

Agak unik juga apabila seorang wanita rajin menghasilkan mesin. Apakah pandangan Dr. dalam hal ini?

Seperti yang saya katakan sebelum ini, bidang kepakaran saya adalah reka bentuk mesin proses makanan.
Saya telah mendapat pendedahan awal iaitu pada peringkat prasiswazah dalam bidang kejuruteraan pertanian dan seterusnya di peringkat sarjana tertinggi dalam bidang kejuruteraan proses dan makanan dalam pengkhususan reka bentuk mesin proses makanan.
Dengan ini, sudah tentulah bidang penyelidikan saya lebih menjurus kepada penghasilan mesin-mesin untuk memproses produk makanan.

Selaku ketua MSAE ketika ini boleh Dr.. Apakah matlamatnya?

MSAE ditubuhkan pada tahun 1982 dan didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan pada 1984. Ia merupakan sebuah organisasi profesional dan teknikal yang merangkumi ahli-ahli yang berminat dalam ilmu kejuruteraan dan teknologi makanan, pertanian, dan industri serta sumber yang berkaitan. Pengasas persatuan kebanyakannya terdiri daripada pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM). Pejabat MSAE terletak di Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang Selangor.
Secara amnya, matlamat MSAE adalah untuk mempromosikan bidang kejuruteraan pertanian dan kerjaya yang berkaitan dengannya di negara ini. Seterusnya dengan kewujudan persatuan ini maka dapatlah ia menjadi platform bagi menggalakkan kemajuan profesional ahli, serta mengembangkan peranan, perkongsian dan kerjasama di antara jurutera, saintis, ahli teknologi yang terlibat dalam sektor makanan dan pertanian. Selain itu, persatuan ini juga turut bertindak untuk meluaskan kepentingan jurutera pertanian dalam isu keselamatan makanan. Sejajar dengan peralihan zaman, MSAE turut melakukan transformasi dalam penstrukturan semula organisasi.
Pada 8 Oktober tahun lalu, satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi melaksanakan pindaan pada perlembagaan persatuan.
Intipati pindaan ditumpukan pada penggubalan status keahlian dengan yuran berbayar secara tahunan

Bagaimana persatuan boleh membantu meramaikan jumlah pakar mesin?

Untuk makluman, saya merupakan Presiden Persatuan JuruteraPertanian Malaysia (MSAE) bagi tahun 2013 - 2015. Penubuhan MSAE sebagai menjadi platform bagi menggalakkan kemajuan profesional ahli. Ahli-ahli dalam persatuan terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran dalam sektor makanan dan pertanian. Satu bidang kepakaran adalah reka bentuk mesin dari proses pratuai hinggalah lepas tuai.
Selain itu, MSAE juga memainkan peranan dalam mempromosikan bidang kejuruteraan makanan dan pertanian bagi menarik minat pelajar-pelajar masa kini untuk menceburi dalam jurusan ini agar industri makanan dan pertanian dapat terus bersaing. MSAE juga sebagai sebuah persatuan yang boleh bertindak sebagai platform bagi membantu graduan-graduan untuk menjadi jurutera profesional. Ahli MSAE atau orang ramai yang menghadapi masalah dalam sektor makanan dan pertanian boleh membincangkan perkara ini dalam kalangan ahli MSAE yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. MSAE juga akan bertindak sebagai satu landasan bagi jurutera-jurutera pertanian negara untuk menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi dalam industri makanan dan pertanian.

-Sila klik di sini untuk baca Utusan Malaysia, 17 November 2014-  



Date of Input: | Updated: | amir_peli

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDeAAS~