UPM Serdang, 26 September 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dengan kerjasama Kemakmuran 2000 Sdn. Bhd., Sunway Quarry Industries Sdn. Bhd. dan Novapave Sdn. Bhd. melaksanakan projek naik taraf jalan utama fakulti sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Projek bernilai RM360,000 ini menggunakan teknologi hasil penyelidikan UPM, iaitu Fibre Mastic Asphalt 20 (FMA20) bersama bitumen terubahsuai mampan (PG76). Turapan sepanjang 411 meter dengan kelebaran 15 meter bersamaan satu (1) km jalan raya dua lorong, ini dijadualkan siap pada minggu ketiga September 2025, dengan kerja dilaksanakan sehingga lewat malam bagi meminimumkan penutupan jalan.
Kemakmuran 2000 Sdn. Bhd. terlibat dalam pembekalan bitumen, kerja penurapan dan penandaan jalan; Sunway Quarry Industries Sdn. Bhd. menyediakan premix dan ujian loji; manakala Novapave Sdn. Bhd. menyokong aspek logistik dan kawalan kualiti. Projek ini turut dibimbing oleh Prof. Ir. Dr. Ratnasamy Muniandy, dengan koordinasi Prof. Madya Dr. Fauzan Mohd Jakarni, Ir Salihudin Hassim serta sokongan Pegawai Akademik, Sokongan dan Teknikal serta Pelajar Siswazah Jabatan Kejuruteraan Awam. Pada masa yang sama, kejayaan ini turut didukung oleh Unit Kecemerlangan Pembangunan serta warga Fakulti Kejuruteraan yang terlibat, yang memastikan penyelarasan projek di peringkat fakulti dilaksanakan dengan penuh komitmen, teratur dan berkesan.
Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata projek ini membuktikan penyelidikan universiti boleh diterjemahkan ke dalam aplikasi sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat. “Dengan sokongan industri dan penglibatan universiti, UPM bukan sahaja menaik taraf infrastruktur kampus, tetapi turut menyerlah sebagai peneraju inovasi turapan mampan,” ujarnya.
Projek ini turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 9, 11, 12 dan 17, menjadikan UPM rujukan nasional dan antarabangsa dalam bidang Kejuruteraan Lebuh Raya dan Turapan.
Date of Input: 29/09/2025 |
Updated: 29/09/2025 | puteriamirah
MEDIA SHARING