Serdang, 9 September – Sebuah bengkel penanaman sayuran secara hidroponik menggunakan teknik Nutrient Film Technique (NFT) telah diadakan pada 24 Ogos di Kebun Komuniti PKR, Taman Sri Serdang. Bengkel ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Toclan Agritecture Solutions, di bawah dana Geran Komuniti: Knowledge Transfer Grant Scheme (KTGS) dan diketuai oleh Dr. Marsyita Hanafi.

Taklimat modul bengkel penanaman hdroponik secara NFT yang disampaikan oleh Dr Marsyita Hanafi

Sistem hidroponik di Kebun Komuniti PKR, Taman Sri Serdang
Melalui bengkel tersebut, peserta diberi penerangan tentang asas-asas sistem hidroponik NFT, termasuk cara pemasangan sistem, penyemaian biji benih dan anak pokok sayuran, penyediaan larutan nutrien serta teknik penjagaan tanaman untuk memastikan hasil yang berkualiti tinggi. Para peserta turut berpeluang menjalani sesi praktikal, di mana mereka menanam anak pokok salad ke dalam media serbuk sabut kelapa sebelum dipindahkan ke dalam sistem hidroponik NFT.
Ketua projek iaitu Dr. Marsyita Hanafi menegaskan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPM untuk memperkasakan komuniti setempat dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian bandar. "Kami berharap melalui bengkel ini, para peserta dapat mengaplikasikan penanaman sayuran hijau dan sayuran berbuah mengunakan teknik hidroponik di kebun komuniti dan rumah masing-masing, seterusnya membantu mengurangkan kebergantungan kepada hasil pertanian yang dibeli di pasaran dan menjana hasil pendapatan," katanya.
Encik Norvindthaan A/L Ramasamy, salah seorang peserta bengkel, yang merupakan penduduk dan pelajar Universiti menyatakan bahawa beliau pernah menjadi johan di dalam pertandingan video tentang penanaman hidroponik NFT di sekolah. ”Melalui bengkel ini, pemahaman saya terhadap penanaman hidroponik adalah lebih tinggi berbanding sebelumnya kerana ia turut melibatkan hands-on", ujar beliau. Menurut seorang lagi peserta, Dr Nurul Izzah menyuarakan tentang hasrat beliau untuk mengamalkan penanaman hidroponik sendiri di rumah selepas menyertai bengkel ini. Manakala bagi peserta warga emas, Puan Susan Chong Siew Chin, beliau amat berpuas hati dengan program yang diadakan dan teruja untuk mengamalkan penanaman hidroponik di kebun komuniti mereka.
Bengkel ini dijangka akan memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya dalam memperluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang pertanian moden. Hasil penanaman ini dijangka akan dapat disemai dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang, dan sesi bengkel seterusnya akan dijalankan untuk menilai dan menambah baik hasil tanaman yang telah diusahakan.

Sesi praktikal penanaman anak pokok salad ke dalam media serbuk sabut kelapa

Sesi praktikal penanaman anak pokok salad ke dalam media serbuk sabut kelapa

Anak pokok yang telah dipindahkan ke dalam sistem hidroponik
Date of Input: 09/09/2024 | Updated: 09/09/2024 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430