Laporan Berita Ringkas Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2024 | FACULTY OF ENGINEERING eng
» NEWS » Laporan Berita Ringkas Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2024

Laporan Berita Ringkas Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2024

Fakulti Kejuruteraan UPM, 30 & 31 Julai 2024 - Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir (FYP) merupakan acara tahunan yang diadakan untuk mempamerkan hasil kerja pelajar tahun akhir Bacelor Kejuruteraan UPM. Pameran ini dikendalikan oleh Bahagian Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Kejuruteraan dengan penglibatan penuh daripada semua pelajar tahun akhir yang mengambil bahagian.

Pada tahun ini, Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir (FYP) dilaksanakan selama dua hari iaitu bermula dari 30 hingga 31 Julai 2024 secara bersemuka di Fakulti Kejuruteraan. Sebanyak 365 projek pelajar tahun akhir daripada 32 bidang dan 8 jabatan akan dipertandingkan dan dinilai oleh panel penilai daripada industri dan juga alumni Fakulti Kejuruteraan. Antara objektif pameran ini diadakan adalah untuk menilai hasil kerja pelajar tahun akhir dan penilai ke atas hasil inovasi yang dihasilkan, menyediakan platform bagi perbincangan kerjaya dengan pihak industri yang mengambil bahagian dan mewujudkan peluang kerjasama serta memantapkan jaringan industri dan alumni Fakulti Kejuruteraan.

Program hari pertama dimulakan dengan pendaftaran panel penilai dan jamuan minum pagi yang disediakan di Foyer Fakulti Kejuruteraan. Selepas itu, majlis secara rasmi dimulakan oleh ucapan alu-aluan pengarah program, YBrs. Ts. Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Seterusnya, majlis dirasmikan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr Raizal Saifulnaz Muhammad Rashid Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (TDA) Fakulti Kejuruteraan. Beliau juga memberi ucapan penghargaan kepada panel-panel penilai industri yang sudi meluangkan masa bagi menilai hasil kerja pelajar-pelajar tahun akhir ini.

Selepas ucapan perasmian, majlis diteruskan dengan sesi penerangan penilaian kepada panel penilai industri. Sesi penerangan ini disampaikan oleh YBrs. Ts. Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor. Selesai sahaja sesi penerangan, panel penilai di bawa oleh pengiring (usher) ke tempat pameran projek pelajar mengikut jabatan seperti yang ditetapkan. Lokasi pameran terbahagi kepada 3 iaitu bagi jabatan KAW, KBP dan KEE di Dewan Peperiksaan 1, Jabatan KAA, KMP dan KPM di Dewan Peperiksaan 2, Jabatan KKA di Bilik Kuliah 5 dan 6 manakala Jabatan KKK di Bilik Kuliah 7 & 8. Pembentangan dan pameran berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Setelah selesai pembentangan, pameran projek dan penilaian, pelajar diberi masa untuk rehat dan solat zohor. Selepas itu mereka perlu mengemas semula kawasan tempat pameran seperti sediakala. Pada sebelah petang pula, pengumpulan dan pengiraan markah serta menyenarai pendek lima markah tertinggi bagi setiap jabatan di jalankan di Dewan Seminar iaitu dari jam 2.00 hingga 4.00 petang yang dijalankan oleh AJK Pemarkahan dari setiap jabatan di bawah pemantauan Dr Mohd Zuhair Mohd Nor (Pengarah Program).

Pada hari kedua program iaitu 31 Julai 2024, pada sebelah pagi berlangsung proses moderasi pemenang projek pelajar terbaik bersama ahli pengurusan jabatan yang dijalankan di jabatan masing-masing. Program dimulakan pada sebelah petang iaitu dengan pendaftaran ahli pengurusan, staf dan pelajar bagi BEM Talk dan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Projek Terbaik Program FYP Exhibition 2024. Majlis dimulakan dengan BEM Talk. Fakulti Kejuruteraan telah menjemput Ir. Hamzah Hashim dari Lembaga Jurutera Malaysia bagi memberikan ceramah bertajuk ‘Introduction to BEM’. Semasa ceramah berlangsung pelbagai input yang dikongsikan oleh penceramah antaranya ialah Mandatory Registration with Board of Engineers Malaysia di mana ia memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai dunia jurutera.

Majlis diteruskan dengan ucapan dan perasmian penutupan program oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Prof Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab.Kadir. Detik yang paling dinantikan pada petang itu adalah, pengumuman pemenang bagi setiap bidang bagi setiap jabatan. Anugerah terbahagi kepada 3 kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa. Setiap pemenang akan menerima pingat dan sijil. Penyampaian hadiah dimulakan dengan pingat gangsa yang disampaikan oleh setiap Ketua Jabatan. Seterusnya bagi pingat perak pula, hadiah disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof. Ir.Dr Raizal Saifulnaz Muhammad Rashid. Yang terakhir sekali, pengumuman bagi pingat emas pula, penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab.Kadir diiringi oleh Ts. Dr Mohd Zuhair Mohd Nor (Pengarah Program) kepada para pemenang.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan ringkas minum petang yang disediakan oleh pihak pengurusan program. Secara keseluruhannya, Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2024 Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia adalah satu program yang berlangsung dengan jayanya. Ia mencerminkan pencapaian pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan secara tidak langsung membina jaringan bersama industri yang terlibat. Harapannya, hasil daripada pameran ini memberi impak positif dan inspirasi kepada generasi pelajar kejuruteraan yang akan datang. 

     

       

      

        

Date of Input: 26/08/2024 | Updated: 27/08/2024 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
X, (01:33:21pm-01:38:21pm, 09 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]