Pelaksanaan Majlis Anugerah Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2024 (ASPIRASI 2024) | FACULTY OF ENGINEERING eng
» NEWS » Pelaksanaan Majlis Anugerah Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2024 (ASPIRASI 2024)

Pelaksanaan Majlis Anugerah Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2024 (ASPIRASI 2024)

Fakulti Kejuruteraan UPM, 10 Jun — Majlis Anugerah Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2024 yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Fakulti Kejuruteraan (PEMAJU) Sesi 2023/2024 telah diadakan di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan. Acara tersebut dilaksanakan bertujuan untuk menghargai para pelajar dan kelab atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka serta dihadiri oleh lebih 200 orang tetamu termasuk ibu bapa, para penerima anugerah, Ahli PEMAJU dan Ahli Pengurusan fakulti.

Malam tersebut dimulakan dengan jamuan ringkas yang disediakan di Foyer Fakulti Kejuruteraan serta sesi bergambar di “karpet merah” bertempat di luar auditorium, di mana para pelajar berpeluang untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman mereka. Suasana majlis dipenuhi dengan kegembiraan dan jangkaan ketika para hadirin menantikan pengumuman pemenang anugerah.

Majlis secara rasmi dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, Saudara Muhammad Safiy Aiman Mohd Karim, Exco Pengurusan Majlis PEMAJU. Seterusnya majlis dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Fazirulhisyam Hashim, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi dan Jaringan Industri & Masyarakat) (TDPI) Fakulti Kejuruteraan. Beliau menekankan kepentingan mengiktiraf kecemerlangan dan kesan positifnya dalam memotivasikan orang lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan.

Selepas ucapan perasmian, majlis diteruskan dengan Sesi Serahan Tugas dan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Fakulti Kejuruteraan Sesi 2024/2025 yang disaksikan oleh YBrs. TDPI dan YBrs. Ts. Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor, Ketua Unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (UHEPA) Fakulti Kejuruteraan. Watikah tersebut yang juga julung kali diadakan merupakan sebuah simbolik yang menunjukkan penaiktarafan PEMAJU daripada sebuah Persatuan kepada Majlis Perwakilan dan juga sebagai simbolik penamatan tugas PEMAJU bagi Sesi 2023/2024. Sebuah persembahan nyanyian daripada pemenang pertandingan EPIC Showdown telah menghiburkan hadirin serta menambahkan sentuhan meriah kepada majlis tersebut.

Penyampaian anugerah dimulakan dengan Anugerah Naib Canselor bagi mengiktiraf pencapaian akademik seramai lebih 20 orang pelajar fakulti yang menerima PNG 4.00 bagi keputusan akhir Semester 1 Sesi 2023/2024. Ia diikuti dengan Anugerah Kepujian Dekan yang meraikan seramai lebih 200 orang pelajar dalam pencapaian akademik PNG 3.75.

Salah satu detik yang paling dinantikan pada malam tersebut ialah penyampaian anugerah di bawah Kluster Individu iaitu Anugerah Keusahawanan Terbaik, Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik, Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Pencapaian STEM Terbaik, Anugerah Women in Engineering Terbaik, Anugerah Kepimpinan Terbaik dan Anugerah Kesukarelawanan Terbaik telah dimenangi oleh Muhammad Zulfakhri Kulkifli (KEE), Aldeeb Nooraldeen Hanie (KAA), Nithiya Dharahini A/P Muruga (KKA), Cheng Xiang Wen (KKK), Lee Jia Qian (KEE), Ahmad Nubli Zainal Abidin (KMP) dan Siti Aisyah Mohd Isham (KKA). Bagi Kluster Berpasukan, Anugerah Kelab Terbaik telah dimenangi oleh Kelab Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (M2EC) atas pencapaian tinggi dalam pelaksanaan aktiviti serta struktur organisasi yang tersusun manakala Anugerah Program Terbaik pula dimenangi oleh program ExplorENG: Summer Programme 2023 anjuran PEMAJU yang dinilai atas peringkat yang tinggi, pengisian program dan struktur jawatankuasa yang tersusun.

Malam tersebut diakhiri dengan penyampaian anugerah utama Fakulti Kejuruteraan yang dipertandingkan iaitu Anugerah Utama Radin Umar dimenangi oleh Cheng Xiang Wen atas pencapaian terbaik beliau dalam akademik, aktiviti STEM berperingkat antarabangsa dan lain-lain pencapaian. Anugerah-anugerah ini dinilai oleh Barisan Penyelaras Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Jabatan, Unit Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (UHEPA) serta Majlis Perwakilan Fakulti Kejuruteraan (PEMAJU). Semoga pelaksanaan dan kecemerlangan majlis tersebut dapat menghidupkan inspirasi dan motivasi kepada warga fakulti untuk terus kekal mengejar kecemerlangan.

  

     

Date of Input: 19/06/2024 | Updated: 20/06/2024 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
X, (12:35:10pm-12:40:10pm, 09 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]