21 Februari – Setinggi tahniah diucapkan kepada oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq bin Haji Hameed Sultan yang mengetuai penyelidikan teknologi Drone Natural Fibre Frame Kit atas pemeteraian perjanjian pelesenan antara UPM bersama syarikat SUXUS Sdn. Bhd. bagi teknologi tersebut. Sesi menandatangani perjanjian ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dr. Samsilah Bt Roslan (Pengarah Putra Science Park UPM) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Bt Wan Ab.Rahman (Timbalan Pengarah, Seksyen Pemindahan Teknologi & Pengkomersilan Inovasi).

“Drone Natural Fibre Frame Kit” yang juga dikenali sebagai PUTRAUAV ini diperbuat daripada serat daun nanas yang mempunyai sifat biodegradable (dapat diuraikan atau direputkan melalui tindakan biologi oleh mikroorganisma). Ia dilengkapi dengan sistem kamera pintar untuk mengambil imej dan video yang beresolusi tinggi bagi membolehkan pengguna mengesan imej meskipun dalam saiz yang berskala kecil.
PUTRAUAV mampu melakukan penerbangan automatik dan mengikuti laluan yang telah ditetapkan melalui pengaturcaraan pintar. Sistem ini membolehkan dron melakukan corak penerbangan yang canggih dan ia dapat menyesuaikan kedudukan agar proses penangkapan imej dan pengumpulan data dilaksanakan secara optimal.
Inovasi ini terbukti membuka lembaran baharu dalam industri dron yang lebih lestari dan mesra alam. Kejayaan ini turut membuktikan keunggulan penyelidikan UPM serta memperkukuhkan sinergi antara akademia dan industri dalam menginovasikan teknologi yang memberi impak kepada masyarakat dan industri.
Date of Input: 27/02/2025 | Updated: 27/02/2025 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430