Produk Gel Tenaga Berasaskan Kurma, Madu Dan Habbatus Sauda Berjaya Meraih Kemenangan Di NCPD International Prize 2024 | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » Produk Gel Tenaga berasaskan kurma, madu dan habbatus sauda berjaya meraih kemenangan di NCPD International Prize 2024

Produk Gel Tenaga berasaskan kurma, madu dan habbatus sauda berjaya meraih kemenangan di NCPD International Prize 2024

Riyadh, 21 Nov 2024 – Sekalung tahniah diucapkan kepada Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), atas kejayaan sebagai salah seorang pemenang bagi kategori New Product Development Prize di National Centre for Palms and Dates International Prize (NCPD) 2024 pada 20-21 November 2024 di Riyadh, Arab Saudi.

Anugerah ini disampaikan oleh Abdul Rahman Al-Fadhli (Menteri Alam Sekitar, Air, dan Pertanian Arab Saudi) yang turut memberikan penghargaan kepada para pemenang atas usaha mereka dalam memajukan industri kurma ke tahap yang lebih tinggi. Penganjuran anugerah ini mendapat sambutan sebanyak 173 permohonan dari 37 negara yang menjadi bukti kepada sokongan dan minat global terhadap pengembangan produk berasaskan kurma. Daripada bilangan ini, hanya 14 peserta sahaja yang terpilih sebagi pemenang bagi tiga kategori yang dipertandingkan; Scientific Research Prize Joint-Winners (5 pemenang), Date Palm Innovative Technology Excellence Prize Joint-Winners (5 pemenang) dan New Product Development Prize Joint-Winners (4 pemenang).

Melalui penilaian yang teliti oleh lembaga pemegang amanah, projek Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof yang bertajuk “Date-Based Sports Energy Gels Formulated with Honey and Black Seed (Habbatus Sauda) for Fueling Athletic Performance” dipilih sebagai pemenang berdasarkan kreativiti dan kesan positif yang dibawa oleh produk tersebut terhadap industri sukan dan pemakanan. Projek ini berjaya menarik perhatian para juri dengan pengenalan produk gel tenaga berasaskan kurma yang diperkaya dengan madu dan habbatus sauda untuk memberikan tenaga tahan lama dan pemulihan optimum bagi atlet. Produk yang telah dipatenkan di UPM ini merupakan hasil penyelidikan mendalam yang menggabungkan manfaat khasiat tiga bahan utama tersebut untuk memberikan alternatif makanan berkhasiat dan efektif kepada atlet dalam menghadapi cabaran fizikal yang tinggi. Projek ini berjaya mendapat penajaan daripada Putera Faisal bin Fahad Award untuk Penyelidikan Sukan di bawah Kementerian Sukan, Arab Saudi dan merupakan projek kerjasama antara Malaysia, Arab Saudi, Jepun, dan Mesir. Barisan ahli projek dari UPM ialah Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa (Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul), Prof. Madya Dr. Hazizi Abu Saad (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) dan Dr. Nor Nadiah Abdul Karim Shah (Fakulti Kejuruteraan) serta dibantu oleh pelajar PhD, Shahrul Anis Hazwani Mohd. Bayori.

Semoga kejayaan yang diperoleh dapat menggalakkan lagi penglibatan warga UPM serta mengharumkan nama UPM di persada dunia.

Date of Input: 05/12/2024 | Updated: 05/12/2024 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (04:47:13am-04:52:13am, 10 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]