Serdang, 11 Jun – Satu program Pembangunan Penderia Kualiti Air Akuakultur untuk Penternak Akuakultur telah diadakan pada 8 dan 9 Jun 2024 di Kampung Parit Abdul Hadi, Batu Pahat, Johor. Seramai 16 orang peserta di kalangan penternak telah mendapat pendedahan berkaitan internet benda (IoT) dalam industri akuakultur daripada pensyarah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian (KBP),
Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam program pemindahan ilmu ini, peserta telah diberi pendedahan melalui syarahan yang bertajuk “Aplikasi IoT bagi Pengurusan Akuakultur secara Mampan” yang telah disampaikan oleh Dr. Diyana Jamaludin. Selain itu, pensyarah dan pelajar juga telah membangunkan penderia kualiti air akuakultur dan melaksanakan pemindahan ilmu di lapangan untuk kegunaan wakil penternak di Fishlegs Farm.
Menurut Ketua Projek, Ts. Dr. Muhammad Hazwan Hamzah, “Pendedahan kepada IoT dalam akuakultur amat penting kepada penternak selaras dengan Dasar Agro- Makanan Negara 2.0 2021–2030 untuk meningkatkan daya saing industri agromakanan melalui penggunaan teknologi pertanian moden dan menggalakkan ekonomi pertumbuhan bagi memastikan kemampanan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030”.
Dalam program yang sama juga, En. Muhamad Ainuldin Bakar, Pengurus Fishlegs Farm juga telah menyampaikan syarahan bertajuk “Sistem Pemudah bagi Penternak Akuakultur”. Ilmu yang disampaikan oleh beliau merupakan kesinambungan kepada projek pemindahan ilmu yang telah dilaksanakan oleh pihak KBP, FK, UPM pada November 2023 sehingga Januari 2024 dalam modifikasi sistem rawatan air dan integrasi akuaponik. Komuniti telah meneruskan aplikasi ilmu dan kemahiran dalam bidang usaha yang telah diperoleh kepada penduduk Parit Sulong dan kawasan sekitarnya.
Program yang mendapat dana daripada Knowledge Transfer Grant Scheme @ PTJ ini turut mendapat tajaan wang tunai dan in-kind daripada pelbagai pihak termasuk Yasser Supplies, Godang Spray Painting Workshop, Ayah Amat Catering, Suria Catering, Swee Chiang Hardware Sdn Bhd dan Fishlegs Farm.


Date of Input: 20/06/2024 | Updated: 20/06/2024 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430