Dari 2 hingga 5 Ogos 2024, bertempat di Desa Pagaruyung di Kecamatan Tapung, Kabupaten Kampar, Provinsi Riau, Indonesia, pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu Pemprosesan Makanan Trans-Sempadan 2.0 (TransFood 2.0) telah dijalankan. Program ini merupakan kolaborasi antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universitas Riau (UNRI) dengan matlamat untuk memindahkan ilmu pemprosesan sisa buah-buahan kepada komuniti setempat, khususnya dalam mengatasi masalah lambakan sisa kulit nanas.
Program ini diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri, Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, dengan sokongan pasukan daripada UPM yang terdiri daripada Ts. Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor, Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin dan Prof. Madya Dr. Khairul Faezah Md. Yunos. Program ini turut dibantu oleh dua pelajar PhD UPM, iaitu Puteri Nurain Megat Ahmad Azman dan Nurul Nadzirah Mohd Yusof, yang turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan aktiviti bersama komuniti. Dari pihak UNRI, Dr. Dewi Fortuna Ayu, Ketua Jurusan Teknologi Pertanian, Fakultas Pertanian dan juga Dr. Yusmarini yang berperanan penting dalam memastikan keberhasilan program ini.
Pelaksanaan program TransFood 2.0 melibatkan dua modul utama yang telah mendapat pemfailan Hak Cipta. Modul 1 adalah berkaitan pengeluaran serbuk daripada sisa buah-buahan, yang mana peserta diajar untuk mengeringkan kulit nanas, mengisarnya menjadi serbuk halus. Modul 2 pula memberi tumpuan kepada pembangunan peralatan makanan daripada serbuk yang dihasilkan dalam Modul 1. Serbuk tersebut dicampurkan dengan polikaprolakton (PCL) untuk menghasilkan produk biodegradasi seperti pinggan dan cawan.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dyka Ruyung Kelana, Ketua Desa Pagaruyung, yang menyatakan penghargaan beliau terhadap usaha kerjasama ini. Majlis pembukaan ini diikuti dengan sesi taklimat yang menjelaskan objektif dan impak program terhadap komuniti.
Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada komuniti tentang teknik pemprosesan sisa buah-buahan yang praktikal dan berpotensi untuk menjana pendapatan tambahan. Melalui demonstrasi yang dijalankan, peserta belajar bagaimana untuk mengeringkan kulit nanas, mengisarnya menjadi serbuk halus, dan mencampurkannya dengan PCL untuk menghasilkan produk biodegradasi seperti pinggan dan cawan. Aktiviti ini direka khas untuk membina kemahiran baru dalam kalangan penduduk tempatan, sekaligus memupuk minat mereka dalam mengaplikasikan teknologi ini bagi meningkatkan produktiviti pertanian.
Aktiviti dalam program ini bermula dari majlis pembukaan di mana wakil UPM dan UNRI memberikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada komuniti yang terlibat (Rajah 1). Selepas itu, peserta diberikan taklimat menyeluruh untuk memastikan mereka memahami setiap langkah yang akan diambil dalam sesi praktikal (Rajah 2). Dalam sesi praktikal tersebut, peserta diajar cara mengeringkan kulit nanas menggunakan kaedah pengeringan matahari dan ketuhar sebelum ia dikisar menjadi serbuk halus (Rajah 3). Serbuk halus ini kemudian digunakan dalam demonstrasi untuk menghasilkan perkakasan biodegradasi, di mana setiap langkah dari pencampuran serbuk dengan polikaprolakton (PCL) hingga ke proses acuan dipraktikkan dengan teliti oleh peserta (Rajah 4).
Rajah 1
Rajah 2
Rajah 3
Rajah 4
Keberkesanan program ini terbukti melalui kajian pra dan pasca yang dijalankan ke atas peserta. Sebelum latihan, kurang daripada 50 peratus peserta mempunyai pengetahuan mengenai teknik pemprosesan kulit nanas. Namun, selepas program dijalankan, hampir semua peserta menunjukkan kefahaman yang jelas tentang proses tersebut. Peningkatan ini menunjukkan kejayaan program TransFood 2.0 dalam mencapai objektif pemindahan ilmu dan pembangunan kemahiran.
Di akhir program, semua pihak yang terlibat menyatakan komitmen mereka untuk terus mengembangkan ilmu yang diperoleh. Kesemua peserta kini mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lebih baik dalam memanfaatkan sisa kulit nanas menjadi produk yang bernilai, sekali gus memberi potensi untuk meningkatkan taraf ekonomi komuniti Desa Pagaruyung. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, tetapi juga meningkatkan keterlihatan UPM dan UNRI di peringkat serantau, membuka peluang untuk lebih banyak kolaborasi di masa hadapan.
Projek TransFood 2.0 telah menunjukkan bahawa dengan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti, banyak manfaat dapat dicapai, termasuk dalam pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi setempat. Dengan kejayaan program ini, Desa Pagaruyung kini menjadi komuniti contoh bagi inovasi dan pemindahan ilmu ini yang mampu memberikan impak positif kepada komuniti lain.
Date of Input: 15/10/2024 | Updated: 15/10/2024 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430