UPM Cemerlang Di UROCK 2025: Tempat Ketiga Drone Delivery Challenge, Tempat Kelima Legged Robot Race | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » UPM Cemerlang di UROCK 2025: Tempat Ketiga Drone Delivery Challenge, Tempat Kelima Legged Robot Race

UPM Cemerlang di UROCK 2025: Tempat Ketiga Drone Delivery Challenge, Tempat Kelima Legged Robot Race

 

Putrajaya, 7 November 2025 – Kelab Robotik Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah Fakulti Kejuruteraan terus mengharumkan nama universiti apabila mencatat dua kejayaan membanggakan di Pertandingan University Robot Competition: Kingdom of Champions (UROCK) 2025. Kelab Robotik UPM meraih tempat ketiga dalam kategori Drone Delivery Challenge serta tempat kelima dalam Legged Robot Race yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dari 5 hingga 7 November 2025, sempena Festival Idea Putrajaya.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menghimpunkan sebanyak 15 pasukan dari universiti dan politeknik seluruh Malaysia bagi memperlihatkan kehebatan serta kreativiti pelajar dalam bidang robotik. Melalui kejayaan tersebut, Kelab Robotik UPM berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta trofi kemenangan. Pasukan UPM dianggotai oleh 14 orang pelajar tahun pertama hingga tahun ketiga dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Komputer dan Komunikasi, serta Kejuruteraan Biologi dan Pertanian di Fakulti Kejuruteraan.

Pasukan ini dibimbing oleh Prof. Dr. Wan Zuha Wan Hasan, Ts. Dr. Nor Mohd Haziq, Ir. Dr. Hafiz Rashidi, Prof. Madya Ir. Dr. Norhafiz Azis, dan Encik Ahmad Jasree Jasmi daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik. Kelab Robotik UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli pengurusan dan warga fakulti yang telah memberikan sokongan, bimbingan serta bantuan kepada pelajar dalam penyertaan pertandingan ini. Kejayaan ini membuktikan keupayaan UPM untuk melahirkan tenaga mahir muda yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan teknologi negara.

Date of Input: 10/11/2025 | Updated: 13/11/2025 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (04:50:10am-04:55:10am, 10 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]