UPM Serdang Campus Excels In Winning A Total Of 18 Medals At ARC2025 And The Mobility Program At Maejo University | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » UPM Serdang Campus Excels in Winning a Total of 18 Medals at ARC2025 and the Mobility Program at Maejo University

UPM Serdang Campus Excels in Winning a Total of 18 Medals at ARC2025 and the Mobility Program at Maejo University


UPM menerima anugerah istimewa daripada pihak MSAE

Serdang: Universiti Putra Malaysia Kampus Serdang telah menghantar 8 wakil kumpulan dan telah berjaya membawa pulang keseluruhan 6 emas, 3 perak dan 9 gangsa dan juga dengan bangganya telah menerima anugerah penghargaan istimewa daripada pihak MSAE kerana kejayaan yang membanggakan bagi setiap acara yang dipertandingkan pada acara "11th Southeast Asian Agricultural and Food Engineering Student Chapter Annual Regional Convention (ARC2025) ini. Program ARC25 yang berlangsung selama 3 hari pada 24 hingga 26 Febuari 2025 ini bertempat di Maejo University, Chiang Mai, Thailand adalah dibawah bimbingan penasihat kelab MSAE-SC UPM, Dr. Mahirah Jahari dan pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Dr. Ts. Anas Mohd Mustafah.

Kejayaan membanggakan apabila UPM kampus Serdang berjaya membawa pulang sejumlah 3 pingat iaitu 1 emas disumbangkan oleh Nur Amani Izzati Mohd Esham, 1 pingat perak melalui Nur Khairunnisa binti Mohd Kamaruzaman dan 1 pingat gangsa melalui Amirah Syahdina Bakri dalam pertandingan "ARC Maze Race" secara berkumpulan kolaborasi bersama beberapa institusi lain. Pencapaian membanggakan seterusnya dalam pertandingan “Vlog Contest Technical Tour” yang juga hasil daripada kolaborasi bersama beberapa buah institusi yang lain, 3 emas disumbangkan oleh Nur Azua Khadijah Azman, Muhaini Syahirah Abdul Ghani dan Nur Khairunnisa Mohd Kamaruzaman. Pingat perak dan gangsa pulak masing-masing disumbangkan oleh Angel Yau Jia Xuan dan Nabilla Wasfa Binti Saifuddin.

Kumpulan 5 yang terdiri daripada Ahmad Faris Ahmad Fuad, Ahmad Asyraaf Mohamad Saman, dan Hafiz Azhar dengan jayanya berjaya memperolehi markah penuh dan membawa pulang pingat emas dalam pertandingan “MyCobot Challenging”. Bagi acara yang paling ditunggu-tunggu iaitu “Cultural performance” yang dibawakan oleh UPM Kampus Serdang juga berjaya menambat hati juri dan berjaya memperolehi tempat pertama keseluruhan dan membawa pulang pingat emas.

 
Persediaan sebelum menghadapi pertandingan Mycobot Challenging

Kejayaan membanggakan diteruskan lagi apabila Kumpulan 8 yang terdiri daripada Nur Adila Mustafa dan Amirah Syahdina Bakri berjaya memperolehi pingat perak, serta Kumpulan 2, 4 dan juga 5 yang terdiri daripada Muhaini Syahirah Abdul Ghani, Siti Nurul Syafiqah Saidin, Intan Nurfarhana Azman, Nur Adila Mustafa, Nur Azwadah Ashikin Mohd Azam, Nur Azua Khadijah Azman, Angel Yau Jia Xuan, Hana Sofea Mohd Ridzuwan serta Nurul Izzah binti Mohd Fauzi yang telah berjaya memperolehi pingat gangsa acara “Interactive Poster Presentation” edisi kali ini. Pertandingan tersebut disertai oleh pelbagai buah negara dan institusi termasuk 6 buah dari universiti tempatan, 3 wakil institut daripada Indonesia serta 3 buah institut dari Thailand. Program yang berlangsung ini bertujuan untuk merapatkan lagi ikatan antara institusi dalam bidang Kejuruteraan Pertanian dikalangan negara-negara asia. Untuk melihat dengan lebih lanjut mengenai gambar aktiviti program ini, boleh kunjungi Instagram kami di @msae.bae.

UPM Serdang meneruskan lagi dengan program mobiliti di Maejo University, Thailand, dari 27 Februari hingga 8 Mac 2025. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dalam bidang sains makanan, kejuruteraan, dan teknologi pertanian melalui pelbagai aktiviti akademik, lawatan industri, serta pengalaman budaya. Program ini dimulakan pada 27 Februari dengan sesi Professor Talk bertajuk “Rubber and Polymer”, yang memberi gambaran mendalam mengenai aplikasi polimer dalam industri di Thailand. Pada hari yang sama, pelajar turut menyertai kelas memasak dengan fokus pada pembuatan biskut, dibimbing oleh pelajar Food Science dari Maejo University.

 Aktiviti membakar biskut UPM bersama pelajar Maejo University

Pada 28 Februari, pelajar menyertai bengkel robotik sepanjang hari yang memberi pendedahan kepada teknologi robot seperti MyCobot dan Robotic arm. Sesi pagi dimulakan dengan taklimat mengenai konsep asas dan aplikasi robotik, diikuti dengan latihan praktikal. Pada sebelah petang, pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan santai yang menguji kemahiran mereka dalam mengendalikan robot. Bengkel ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada setiap peserta sebagai pengiktirafan atas penyertaan

Pelajar daripada UPM dan Maejo University setelah selesai sesi Bengkel Robotik

Pada 1 Mac, peserta mengikuti lawatan lapangan ke Sunsweet: King of Corn (KC), sebuah syarikat yang dikenali sebagai peneraju dalam industri pemprosesan jagung. Pada 3 Mac, sesi pembelajaran lebih berfokus pada teknologi pengeringan makanan. Pelajar didedahkan kepada proses pengeringan pisang menggunakan Parabolic Dome Solar Dryer serta kesan pengeringan solar terhadap komposisi mineral dan kualiti pisang melalui teknik X-ray Fluorescence Spectroscopy (XRF). Pada 4 Mac, pelajar menyertai lawatan lapangan ke Raming Tea Company, sebuah syarikat teh terkemuka di Thailand. Mereka diberi penerangan tentang proses pengeluaran teh dari peringkat penanaman hingga produk akhir, sekali gus memahami kepentingan teknologi dan inovasi dalam industri teh.

Lawatan ke Raming Tea

Setelah menyelesaikan aktiviti fizikal di Thailand, peserta kembali ke Malaysia pada 5 Mac dan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian dari 6 hingga 8 Mac. Sesi ini merangkumi pelbagai topik penting dalam industri makanan dan teknologi seperti teknologi ozon dalam industri makanan, trend analisis dalam kejuruteraan makanan, sistem pengurusan keselamatan makanan, serta pembangunan suplemen bio-kalsium daripada tulang haiwan. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada asas kecerdasan buatan dalam proses pertanian.

Program ini diakhiri pada 8 Mac dengan majlis penutup rasmi. Keseluruhannya, program mobiliti ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan akademik pelajar, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk meneroka budaya, teknologi, dan inovasi dalam industri makanan dan pertanian di peringkat antarabangsa. Diharapkan pengalaman ini dapat meningkatkan daya saing dan keterampilan pelajar dalam industri berkaitan.

Date of Input: 02/07/2025 | Updated: 03/07/2025 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (05:02:01am-05:07:01am, 10 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]