Laporan itu yang ditulis Ed Crawley, seorang profesor Kejuruteraan Ford di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik dan Astronautik di MIT, menerangkan beberapa hala tuju masa depan pendidikan kejuruteraan dan bagaimana bakal jurutera dilatih dalam menangani isu-isu berkaitan kemasyarakatan.

Crawley yang juga Pengarah Pusat Transformasi Pendidikan Kejuruteraan Baru (NEET) di MIT menyatakan: “Jurutera perlu menangani cabaran berkaitan masyarakat yang kompleks pada abad ke-21 dengan membina mesin, bahan dan sistem generasi baharu. Kita perlu memikirkan semula bagaimana kita mendidik jurutera untuk menghadapi masyarakat sekarang dan akan datang.

 

“Kami tidak menawarkan pengajian di Pusat Pendidikan MIT dalam situasi industri masa lalu, sebaliknya menyasarkan pelaksanaan pengajian dalam situasi industri masa depan. Bekerjasama dengan pihak industri bagi membangun pelbagai projek masa depan adalah bermula daripada pengajian tahun pertama sehingga tahun akhir.

“Para pelajar dikehendaki menghasilkan pelbagai jenis mesin merangkumi segala sesuatu yang akan dibina oleh jurutera masa depan termasuklah pembinaan merentasi bidang mekanikal, sistem maklumat, kejuruteraan nano, biologi, statik dan kelestarian tenaga. Kami menyasarkan pendidikan MIT bagi industri masa depan, bukannya industri masa lalu.”

Hasil daripada kajian kes dan laporan MIT itu membuktikan bahawa industri hari ini dan masa depan perlu dibangunkan oleh kumpulan jurutera dan pereka yang mampu merentasi bidang di antara kejuruteraan dengan bioteknologi, perubatan, komputer, reka bentuk industri dan pelbagai bidang utama. Teknik pengajaran dan pembelajaran itu akan dapat menyediakan bakal jurutera menghadapi situasi dan persekitaran masa depan dengan lebih menyeluruh.

Metodologi

Namun, ia tidak lari daripada bersandarkan kepada al-Quran. Perancangan dan pelaksanaan metodologi pengajaran dan pembelajaran ini bukan sahaja berasaskan kepada pengalaman terdahulu, malahan rujukan utama daripada al-Quran dan hadis adalah sangat perlu.

Sebenarnya al-Quran dan hadis memberi petunjuk dan panduan yang lengkap kepada manusia terhadap prinsip, idea, konsep, proses, contoh-contoh mengenai ilmu sains dan kejuruteraan.

Kepentingan ilmu pengajaran dan pembelajaran termasuk kejuruteraan telah disebut lebih daripada 300 kali dalam al-Quran. Surah Al-An’aam (6:38) menyebut: “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya melainkan umat-umat (juga) seperti kamu. Tiadalah Kami lupakan sesuatu pun dalam Al Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan.”

Ini adalah keperluan asas masyarakat yang perlu diambil kira bagi membangunkan rumah kediaman. Justeru, pengajaran dan pembelajaran pengajian kejuruteraan secara tradisional cenderung membahagikan teori dan masalah pada setiap kandungan kursus. Kecenderungan itu dilihat di peringkat kurikulum setiap subjek teras kejuruteraan seperti matematik, termodinamik, statik, dinamik, kejuruteraan bahan atau reka bentuk mesin.

Contohnya, kandungan kursus reka bentuk mesin menangani penggunaan komponen kejuruteraan seperti bearing, gear, pin kekunci, spring, aci dan beratus lagi komponen serta alat ganti kejuruteraan dalam sesuatu sistem atau mesin. Sedangkan, kejadian alam dan kepentingan masyarakat adalah sepatutnya sumber utama sesuatu reka bentuk kejuruteraan sebenar yang sering diabaikan oleh pereka atau jurutera yang beroperasi merentas sempadan kursus atau bidang.

Penerapan yang berasaskan kepada kejadian alam sekeliling, pengalaman mereka bentuk dan keperluan sebenar dalam masyarakat ke dalam kandungan subjek kejuruteraan akan pasti membantu pelajar menghubungkaitkan antara beberapa subjek sepanjang kursus kejuruteraan yang mereka ikuti. Dengan cara ini, mereka akan melaksanakan suatu penyelesaian yang bermakna bagi setiap reka bentuk sistem kejuruteraan daripada teori ilmu kejuruteraan.

Pengaplikasian projek yang mengintegrasikan bidang ilmu kejuruteraan yang tertentu dengan bidang-bidang lain adalah praktikal dan sangat bermanfaat. Ini bukan sahaja mengaplikasikan ilmu daripada kandungan kursus tersebut, malahan ia sebagai sumber pemangkin kepada pembangunan produk atau sistem kejuruteraan yang lebih bersifat keperluan sebenar masyarakat dan industri.

Melalui artikel ini, penulis ingin mengajak semua tenaga pengajar program kejuruteraan daripada peringkat sijil sehingga ke peringkat doktor falsafah di universiti awam dan swasta memberi peluang kepada pelajar mempelajari ilmu kejuruteraan dengan berasaskan kepada keperluan masyarakat dan kejadian alam sekeliling sebagai rujukan. Dengan cara ini, bakal juruteknik dan jurutera berpeluang merancang dan mereka bentuk sesuatu sistem atau produk yang akan dapat dimanfaatkan kepada manusia dan alam kehidupan.

Bakal jurutera akan mempelajari pentingnya matematik bagi menyokong keputusan mereka dalam mereka bentuk sesuatu sistem atau produk. Mereka juga akan dapat merujuk alam sekeliling dan mengaplikasikan komponen kejuruteraan yang telah sedia ada secara optimum dan lebih terpinci.

Konsep pembelajaran tersebut akan dapat mengukuhkan keyakinan kepada bakal juruteknik dan jurutera terhadap penyelesaian sesuatu masalah yang timbul daripada masyarakat dan industri.

Skop kerja ini memberikan pengalaman dan latihan amali yang sangat baik dalam bentuk sistem tanpa mengintimidasi secara teori sahaja. Pengalaman kerja ini tidak akan ditimba oleh pelajar yang melalui pengajian di bilik kuliah secara tradisional. Penimbaan ilmu secara amali adalah lebih mudah diperoleh dan difahami serta ia akan kekal dalam jiwa seseorang pelajar itu.

PROFESOR DR. MUHIDIN ARIFIN ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor.