Pengurusan Sisa Makanan Pasca PKPB | FAKULTI KEJURUTERAAN
» ARTIKEL » Pengurusan sisa makanan pasca PKPB

Pengurusan sisa makanan pasca PKPB

Sejurus sahaja Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020, rakyat menyambut baik berita tersebut. Beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalankan berjaya mewujudkan norma baharu dalam kehidupan masyarakat.

Susulan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa semua pihak tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang kekal berkuat kuasa menerusi PKPB lanjutan itu.

Pelaksanaan PKPB adalah susulan strategi kerajaan dalam menangani wabak iaitu ketegasan SOP dalam mengawal jangkitan koronavirus (COVID-19) dan membina semula rantaian fiskal domestik menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin menunjukkan peningkatan menerusi amalan penjagaan diri yang positif. Transisi amalan seharian masyarakat kepada atas talian dan penjarakan sosial selama dua bulan merupakan latihan intensif ke arah proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Belian Dalam Talian

Berdasarkan tinjauan awal menerusi fasa PKPB, keadaan bersesak setakat ini tidak lagi berlaku termasuklah ketika proses pembelian makanan. Secara tidak langsung, situasi ini memberikan gambaran yang lebih meyakinkan kepada pembelian dalam talian memandangkan makanan tidak lagi dapat dihidangkan dengan selesa di dalam premis atas faktor keselamatan umum.

Aktiviti pembelian makanan dan barang keperluan secara dalam talian menjadi unsur paling signifikan semasa PKP. Amalan ini menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar. Malah, warga emas juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam pembelian menerusi Facebook dan Whatsapp.

Pelbagai platform kemudahan teknologi dapat menyemarakkan lagi motivasi masyarakat untuk mengamalkan budaya baharu ini. Dalam satu sisi lain, senario ini menimbulkan kesukaran untuk syarikat penghantaran barangan membuat hantaran secara efisien ekoran pesanan belian secara dalam talian yang meningkat berlipat kali ganda daripada kebiasaan.

Meskipun norma ini masih baharu, masyarakat tidak mengalami kesukaran untuk menjadikan rutin bagi kehidupan akan datang. Strategi tuntas Malaysia dalam meratakan lengkung pandemik COVID-19 menerusi pelanjutan PKPB merupakan manifestasi berterusan kepada penjagaan kendiri menerusi konsep #kitajagakita.

Jaminan Makanan

Susulan pengumuman lanjutan tersebut, penyediaan makanan secara kerap terus menjadi keutamaan bagi suatu komposisi isi rumah. Menariknya, masyarakat juga tidak terpengaruh dengan beberapa negara yang terlibat dalam pembelian panik dan hanya membuat pembelian berdasarkan menu rancangan mingguan, faktor tarikh luput dan tidak tahan lama.

Hasilnya, negara tidak pernah berhadapan dengan isu jaminan dapatan makanan sepanjang perintah kawalan diadakan. Sekiranya masyarakat terus mengamalkan sikap berpada-pada dalam penyediaan makanan dan memasak hanya dalam kuantiti mengikut keperluan sewajarnya, situasi ini akan membantu mengurangkan penghasilan sisa makanan.

Pelbagai platform jualan makanan menerusi media sosial dan aplikasi pintar memberikan pilihan kepada masyarakat mengikut keselesaan masing-masing. Selain memudahkan, pembelian dalam talian dilihat berkesan untuk mengelakkan pembaziran makanan kerana pembelian dilakukan mengikut keperluan semata-mata berbanding pembelian biasa.

Fasa PKPB memberikan kelonggaran tertentu kepada syarikat pengusaha makanan untuk beroperasi secara hidangan tetapi dengan SOP ketat. Meskipun begitu, kebanyakan mereka memilih untuk terus komited dalam memutuskan rantaian COVID-19 dengan terus menyediakan perkhidmatan makanan secara bawa balik dan penghantaran tunai.

Sebelum pelaksanaan PKP, statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan terdapat 16,668 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari. Namun, penghayatan masyarakat dalam menghargai nilai makanan semasa PKP semakin meningkat yang telah merekodkan penurunan jumlah sisa secara drastik.


Pengurusan Sisa Pepejal

Malah, pelbagai SOP baharu diperkenalkan kerajaan seperti SOP aktiviti sosial, pembelian makanan dan juga perkahwinan yang merupakan suatu fenomena baharu kepada negara. Pelaksanaan SOP yang ketat ketika beberapa siri PKP telah menyumbang kepada penurunan sisa pepejal keseluruhan di kesemua 12 kawasan pihak berkuasa tempatan Selangor.

KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyatakan sebanyak 34,000 tan metrik sisa pepejal dikutip dalam masa seminggu sebelum PKP dan ia menurun kepada 31,400 tan metrik dan 29,000 tan metrik lagi pada minggu seterusnya. Penurunan mendadak sebanyak 7.9 peratus direkodkan pada minggu pertama PKP dan 7.5 peratus lagi pada minggu kedua PKP.

Sepanjang tempoh PKP dijalankan juga, sisa yang dihantar ke pusat pelupusan didapati berkurangan sehingga tahap 40 peratus di Selangor. Oleh itu, jumlah sisa makanan dapat dikaitkan untuk menurun secara relatif, dengan bersandarkan kepada langkah SOP dalam penghantaran makanan yang telah dilaksanakan selama dua bulan dengan begitu ketat.

Pola penurunan yang memberangsangkan ini memberikan petunjuk jelas kepada dimensi pengurusan sisa makanan negara. Kejayaan Jepun dalam kitaran sisa makanan lestari disokong kuat oleh pelbagai peraturan dan akta termasuk khususnya untuk sisa makanan. Langkah ini menjadi panduan terhadap rawatan sisa makanan dalam negara yang lebih sistematik.


Situasi ini menjadi konsensus penting kepada kerajaan dalam menterjemahkan kesiapsiagaan masyarakat terhadap pengurusan sisa makan secara lebih berhemah.

Pengurusan sisa makanan yang sebelum ini dikategorikan sebagai sisa pepejal perlu digubal untuk memastikan kejayaan agenda nasional dalam mengurangkan penghasilan sisa makanan menuju norma baharu pasca PKPB.

--BERNAMA

Dr Muhammad Heikal Ismail merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
 
 

Tarikh Input: 15/05/2020 | Kemaskini: 15/05/2020 | noraihan

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDcQAF~