474 PRODUK TEMPATAN DENGAN NILAI HASIL RM540 JUTA BERJAYA DIKOMERSIALKAN SEJAK PENGANJURAN MCY | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » 474 PRODUK TEMPATAN DENGAN NILAI HASIL RM540 JUTA BERJAYA DIKOMERSIALKAN SEJAK PENGANJURAN MCY

474 PRODUK TEMPATAN DENGAN NILAI HASIL RM540 JUTA BERJAYA DIKOMERSIALKAN SEJAK PENGANJURAN MCY

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri hari ini merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023. Persidangan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kali ini bertemakan Supercharge Your Way to Impact berlangsung pada 3 dan 4 Ogos 2023 bertempat di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur.

Sebanyak 474 produk, teknologi dan perkhidmatan MCY telah berjaya dikomersialkan sepanjang tempoh tahun 2016 hingga 2022 di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai hasil melebihi RM540 juta. Di samping itu, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh MOSTI, telah berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih daripada RM9 bilion.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri telah menyampaikan Anugerah MCY kepada usahawan teknologi tempatan sebagai pengiktirafan di atas kejayaan masing-masing sepanjang tahun 2022.

Anugerah MCY dibahagikan enam (6) kategori di mana penerima membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1 juta berserta trofi dan sijil penghargaan. Selain itu, rakan penaja iaitu Valuing IP akan menawarkan perkhidmatan penilaian harta intelek kepada semua pemenang yang bernilai RM147,000. Pemenang turut akan mendapat khidmat bernilai RM30,000 daripada Brand Geeks yang akan memberi bantuan menilai Technology Readiness Level (TRL) serta membantu mempercepatkan proses pengkomersialan.

Free the Seed Sdn. Bhd. dengan produk Biodegradable & Compostable Packaging Products made from Straw Cellulose Waste telah dinobatkan sebagai penerima Supreme Award, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.00. Produk ini juga merangkul Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dengan hadiah wang tunai bernilai RM130,000.00. Produk pembungkusan ini menggunakan sisa pertanian iaitu bahan biojisim pulpa selulosa daripada jerami padi dan kualitinya telah dipertingkatkan mengikut piawaian penjagaan kesihatan Eropah.

Penerima anugerah bagi empat (4) kategori lain yang menawarkan hadiah wang tunai RM130,000 ialah:

(i)  Anugerah Inovator Baharu - Prof. Ts. Ir. Dr. Suraya Abdul Rashid dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan (FK), yang juga merupakan Timbalan Pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) melalui produk Harvast Photosynthesis Enhancer. 

(ii) Anugerah Usahawan Penyelidik - Syarikat SHE Empire Sdn. Bhd. (Syarikat spin-off Universiti Teknologi Malaysia) melalui produk NK Age-Reverse;

(iii) Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan - Syarikat ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd. melalui produk Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform; dan

(iv) Anugerah Usahawan Sosial - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk Urbankit.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Malaysia Technology Commercialisation Platform (MATCH). MATCH adalah satu platform inovasi pengewangan yang akan menguhubungkan dan menawarkan penyelesaian yang menguntungkan pembekal teknologi dan pencari teknologi. MATCH akan membuka pintu kepada penyedia dan pencari teknologi untuk berhubung dan bertukar ilmu serta kepakaran bagi mempercepatkan proses komersialisasi teknologi di Malaysia.

Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu (1) Memorandum Perjanjian (MoA)

MoU

1. MRANTI dengan AstraZeneca Malaysia

2.  MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network (EAHSN), United Kingdom

3.  Fuciphagus Agritech Sdn. Bhd. dengan Eu Yan Sang

MoA

✅ Free The Seed Sdn. Bhd. dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn. Bhd.

YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan aluannya berkata, “Dalam fasa MCY 3.0 yang dilaksanakan bagi tempoh dari 2021 hingga 2025, MOSTI telah menetapkan sasaran untuk mengkomersialkan sebanyak 400 lagi produk/ teknologi perkhidmatan hasil R&D&I tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 produk/ teknologi/ perkhidmatan disasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.”

Sepanjang dua (2) hari sidang kemuncak berlangsung, pelbagai aktiviti lain yang menarik telah disediakan termasuk Ministerial Dialogue, pameran produk hasil R&D&I tempatan dan keusahawanan sosial, persidangan, forum dan sesi coaching/mentoring.

Pihak Pengurusan FK dengan ini merakamkan setinggi TAHNIAH kepada Prof. Ts. Ir. Dr. Suraya Abdul Rashid atas pencapaian berimpak ini yang mampu meningkatkan lagi kecemerlangan serta visibiliti FK, ION2 dan UPM.

Tarikh Input: 07/08/2023 | Kemaskini: 07/08/2023 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEcUAQ~