50 Orang Pelajar UPM Ikuti Majlis Khatam Al-Quran Antarabangsa | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » 50 orang pelajar UPM ikuti Majlis Khatam Al-Quran Antarabangsa

50 orang pelajar UPM ikuti Majlis Khatam Al-Quran Antarabangsa

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

SERDANG – Seramai 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengikuti Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan secara atas talian melalui siaran langsung akaun Facebook An Nur Quranic Centre baru-baru ini.

Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr Mohd Hizul Azri Md Noor berkata inisiatif itu bertujuan mengajak masyarakat terutamanya golongan belia agar dekat kepada Allah SWT.

Katanya, beliau berharap Allah memberkati usaha itu, lebih-lebih lagi ia dilakukan pada Ramadan, dan turut berharap pelbagai pihak serta masyarakat mendapat manfaat melalui program berkenaan.

Majlis Khatam Al-Quran itu menampilkan bacaan Qari dan Qariah dari Malaysia, Mesir, Indonesia, New Zealand, Chad, Bangladesh, Rusia dan Morocco.

Seramai 7,000 peserta dari pelbagai negara menyertai forum dan majlis khatam Al Quran itu melalui siaran langsung di akaun Facebook An Nur Quranic Centre.

Pelajar UPM juga merupakan antara peserta yang menyertai majlis itu. Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris turut hadir.

Sementara itu, Majlis Penutupan Fiesta Ramadan Antarabangsa pada 17 Mei 2020 (23 Ramadan 1441H), diadakan bagi menghargai usaha dan komitmen para belia kerana bersungguh- sungguh untuk dekat dengan Al Quran.

Pada majlis penutupan itu diadakan Forum Nuzul Quran dan Majlis Khatam Al Quran untuk meraikan mereka yang berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk Al-Quran sepanjang Program “Quarantine VS QuranTime” yang dilaksanakan semenjak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli panel “Forum Nuzul Quran: AlQuran Sumber Perpaduan Ummah” adalah Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz bin Jaafar; Mufti Pahang, Dato' Sri Dr Abdul Rahman Osman, dan Dr Mohd Hizul Azri.

 

Kupasan mengenai isu fardhu ain dan fardhu kifayah semasa PKP dan Ramadan diulas secara mendalam pada forum itu. - UPM

Tarikh Input: 18/06/2020 | Kemaskini: 18/06/2020 | khairulazman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDdCAr~