Dari Sabah Ke Serdang: Membina Jaringan Kejuruteraan Masa Hadapan | FAKULTI KEJURUTERAAN eng
» BERITA » Dari Sabah Ke Serdang: Membina Jaringan Kejuruteraan Masa Hadapan

Dari Sabah Ke Serdang: Membina Jaringan Kejuruteraan Masa Hadapan

 

Serdang, 12 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan menerima lawatan kerja daripada YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, bersama delegasi dari Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh perkongsian ilmu melibatkan fasiliti Makmal Bitumen serta teknologi Bitumen Termodifikasi dengan Sisa Plastik (Recycled Plastic Modified Bitumen) hasil kerjasama strategik antara UPM dan PETRONAS Research Sdn. Bhd. (PRSB).

 

Teknologi yang dikenali sebagai SMA20-Plastic Modified Binder ini dibangunkan oleh Unit Kejuruteraan Lebuhraya UPM yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Ratnasamy Muniandy, bersama Prof. Madya Dr. Fauzan Mohd Jakarni, Prof. Madya Ir. Salihudin Hassim, pegawai teknikal dan pegawai sokongan serta pelajar siswazah. Teknologi ini telah diuji di beberapa lokasi termasuk di PRSB Bangi dan Tanah Tinggi Lojing, Kelantan dengan prestasi melebihi 2 tahun tanpa kerosakan, dan kini telah diluluskan dalam sistem Road Material Approval List (RMAL) oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

 

Sepanjang lawatan, YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya dan delegasi meninjau fasiliti penyelidikan serta menerima taklimat berkaitan teknologi dan potensi penggunaannya secara meluas, khususnya di Sabah dalam usaha meningkatkan mutu jalan raya serta mengurangkan pencemaran sisa plastik.

 

Lawatan ini turut disertai oleh Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Tetap, Kementerian Kerja Raya Sabah, Tuan Jasni Abu Suffiyan Omar, Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Kerja Raya Sabah, Tuan Mohd Shamsul Nizam Abd Wahid, Timbalan Pengarah Kerja Raya mewakili Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Sabah, Ir. Norhayati Hashim, Ketua Penyelidikan Teknologi & Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Research Sdn. Bhd. (PRSB), Dr. Mahpuzah Abai, Ketua Projek (Perniagaan Digital Teknologi) & Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Technology Ventures Sdn. Bhd. dan Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ab. Kadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan.

Tarikh Input: 18/06/2025 | Kemaskini: 18/06/2025 | nurulnadira

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
X, (06:55:50pm-07:00:50pm, 12 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]