Perak, 2 September - Sekumpulan pelajar daripada Kelab Rocketry, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dikenali sebagai Putra StarX, telah mencatat kejayaan membanggakan dalam Malaysia Rocket Competition (MRC2025) yang berlangsung dari 2 hingga 4 September 2025 di ILD Kampung Gajah dan Felcra Seberang Perak. Pertandingan ini dianjurkan oleh UiTM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pada tahun ini, Putra StarX berjaya mara ke pertandingan setelah melalui proses saringan ketat bersama lebih 60 pasukan lain yang terdiri daripada pelbagai sekolah dan universiti, termasuk penyertaan antarabangsa dari Singapura, Filipina, dan Indonesia.
Bagi musim ke-3 penyertaan, Putra StarX mempertaruhkan roket ciptaan mereka, Putra-25, dalam dua kategori utama: Roket 1 km + CanSat dan CanSat. Persiapan intensif yang merangkumi penyediaan dokumentasi, pembinaan roket, serta ujian teknikal telah dijalankan sejak awal tahun bagi memastikan penyertaan yang mantap.
Walaupun berdepan persaingan sengit, Putra StarX berjaya membuktikan kemampuan mereka dengan meraih tempat ketiga dalam kategori Roket 1 km + CanSat, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM100. Kejayaan ini turut meneruskan rekod kecemerlangan tiga tahun berturut- turut yang telah dicapai oleh pelajar Kelab Rocketry, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa. Pencapaian ini lahir daripada semangat berpasukan, dedikasi, dan kerjasama erat dalam kalangan ahli.
Penyertaan pasukan turut mendapat sokongan padu daripada Prof. Madya Dr. Norkhairunnisa Mazlan selaku Penasihat Kelab dan Dr. Izzat Najmi selaku Jurulatih Kelab. Selain itu, pihak Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM), Fakulti Kejuruteraan UPM turut memainkan peranan penting dengan memberi sokongan serta sumbangan, yang menjadi pemangkin semangat kepada pelajar.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kebolehan pelajar UPM dalam bidang teknologi roket, malah turut meningkatkan visibiliti universiti dalam arena penerokaan angkasa melalui inovasi dan kepakaran kejuruteraan.
Tarikh Input: 12/09/2025 |
Kemaskini: 17/09/2025 | puteriamirah
PERKONGSIAN MEDIA