LAPORAN PAMERAN PROJEK PELAJAR TAHUN AKHIR 2023 FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » LAPORAN PAMERAN PROJEK PELAJAR TAHUN AKHIR 2023 FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

LAPORAN PAMERAN PROJEK PELAJAR TAHUN AKHIR 2023 FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA

Tarikh: 17 - 18 Julai 2023 

Lokasi: Fakulti Kejuruteraan, UPM

Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir diadakan setiap tahun untuk mempamerkan hasil kerja pelajar tahun akhir dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan di UPM. Pameran ini melibatkan penyertaan penuh daripada semua pelajar tahun akhir. Pada tahun ini, sejumlah 430 projek pelajar tahun akhir dari 32 bidang dipamerkan di ruang foyer, dewan peperiksaan dan bilik-bilik kuliah dan dinilai oleh 84 panel dari industri yang mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam bidang masing-masing.

Objektif utama pameran ini adalah untuk mempamerkan hasil kerja pelajar tahun akhir dan menilai hasil inovatif, menyediakan platform untuk perbincangan kerjaya dengan rakan industri yang turut serta, serta mencipta peluang untuk kerjasama dan memperkuatkan rangkaian industri dan alumni fakulti kejuruteraan. Pameran ini telah menyaksikan pencapaian yang cemerlang daripada pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan. Projek-projek yang dipamerkan menunjukkan idea-idea kreatif, inovatif, dan relevan yang mampu menangani cabaran dalam industri kejuruteraan masa kini. Setiap projek telah disusun dengan teliti dan mengikut kaedah saintifik yang tepat, menunjukkan dedikasi dan usaha yang tinggi dari pelajar-pelajar ini.

Dalam era globalisasi ini, kerjasama antara universiti dan industri adalah sangat penting untuk memastikan graduan universiti mempunyai keupayaan yang relevan dan sesuai dengan keperluan semasa pasaran kerja. Oleh itu, pameran kali ini telah diselangi dengan satu sesi dinamakan Japanese Chamber of Trade & Industry, Malaysia (JACTIM) Talent Recruitment Program. Program ini melibatkan 12 syarikat Jepun yang telah bertapak di Malaysia di bawah naungan JACTIM termasuk Denso Malaysia, Nippon Electric, Panasonic Appliances Air-conditioning, Toyo Engineering & Construction, Hino Motors Sales Malaysia dan lain-lain.

Di dalam program ini, pihak syarikat telah mengadakan pembentangan, membuka gerai pameran serta melaksanakan temuduga terbuka kepada para pelajar tahun akhir yang berminat. Program ini menjadi wadah bagi para pelajar tahun akhir untuk mendapatkan panduan tentang keperluan sebenar industri dan membina rangkaian yang berguna untuk masa depan kerjaya mereka. Mereka juga dapat mengambil peluang untuk terjun ke bidang pekerjaan seusai menamatkan pengajian mereka.

Secara keseluruhannya, Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2023 di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia ini adalah satu acara yang berjaya dan bermakna. Ia telah mencerminkan pencapaian pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan, serta membina jambatan antara dunia akademik dan industri. Harapannya, hasil daripada pameran ini akan terus memberikan impak positif dan memberi inspirasi kepada generasi pelajar kejuruteraan yang akan datang.

 

 

Tarikh Input: 31/07/2023 | Kemaskini: 31/07/2023 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEcNAF~