MAJLIS SYARAHAN INAUGURAL YBHG. PROF. IR. DR. ADUWATI SALI | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » MAJLIS SYARAHAN INAUGURAL YBHG. PROF. IR. DR. ADUWATI SALI

MAJLIS SYARAHAN INAUGURAL YBHG. PROF. IR. DR. ADUWATI SALI

Serdang, 13 Oktober – Fakulti Kejuruteraan, UPM mengadakan Majlis Syarahan Inaugural yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali dari Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi bertajuk “Sky-High Communication: Anytime, Anywhere” bertempat di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia.

Syarahan Inaugural ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM diiringi barisan pegawai kanan UPM. Majlis ini juga dilaksanakan secara hibrid yang dipancarkan secara langsung melalui Facebook UPM dan Facebook Fakulti Kejuruteraan serta dihadiri secara fizikal oleh seramai 200 penonton untuk mengimarahkan majlis gemilang ini.

Majlis Syarahan Inaugural merupakan majlis yang dilaksanakan khas untuk pegawai akademik yang telah dilantik ke jawatan Profesor. Majlis ini memberi peluang kepada profesor untuk menyampaikan syarahan berkaitan hasil kerja dan kajian yang telah dihasilkan kepada tetamu jemputan yang terdiri daripada warga universiti (khususnya jemputan fakulti) dan orang-orang luar yang berkaitan.

Syarahan Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali berfokuskan pada bidang komunikasi satelit dan pemprosesan isyarat. Sepanjang kerjayanya, beliau telah membuat sumbangan besar dalam bidang komunikasi satelit dan pemprosesan isyarat, dengan tumpuan khusus pada pemodelan dan menganalisis prestasi sistem komunikasi loT, mudah alih dan satelit di kawasan tropika. Penyelidikan beliau telah membantu meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan sistem komunikasi, membolehkan komunikasi yang lebih berkesan dan cekap di kawasan yang terdedah kepada hujan, awan dan gangguan atmosfera yang lain. Secara keseluruhannya, Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali merupakan tokoh yang dihormati dan berpengaruh dalam bidang komunikasi satelit dan pemprosesan isyarat, di mana sumbangannya membantu memajukan pemahaman tentang bidang kajian tersebut.

Tahniah diucapkan kepada YBhg. Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali dan ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam persiapan serta pelaksanaan majlis syarahan ini.

 

Tarikh Input: 31/10/2023 | Kemaskini: 31/10/2023 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEcAAX~