Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2025 | FAKULTI KEJURUTERAAN eng
» BERITA » Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2025

Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2025

Fakulti Kejuruteraan UPM, 29 & 30 Julai 2025 - Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir (FYP) 2025 anjuran Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari pada 29 dan 30 Julai 2025. Program ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dengan penyertaan seramai 359 pelajar tahun akhir daripada lapan jabatan dan 33 bidang pengkhususan. Matlamat utama pameran ini adalah untuk menilai hasil projek dan inovasi pelajar, membuka ruang kerjasama dengan pihak industri serta memperkukuhkan jaringan profesional antara pelajar, alumni dan industri luar.

 

 

Pada hari pertama, program dimulakan dengan sesi pendaftaran panel penilai dan jamuan minum pagi di Foyer Fakulti Kejuruteraan. Seterusnya, majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, YBrs. Dr. Muhammad Azim Azizi, diikuti perasmian oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni), YBhg. Prof. Ir. Dr. Raizal Saifulnaz Muhammad Rashid. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada panel industri atas kesudian meluangkan masa untuk menilai projek pelajar. Selepas taklimat kepada panel penilai oleh pengarah rogram, para penilai dibawa ke lokasi pameran yang telah ditetapkan mengikut jabatan masing-masing. Pameran dan sesi pembentangan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di beberapa lokasi termasuk dewan peperiksaan dan bilik kuliah. Usai sesi pembentangan, pelajar diberi masa untuk berehat dan solat, sebelum mengemas semula kawasan pameran. Pada sebelah petang, proses pengiraan markah dan pemilihan lima projek terbaik bagi setiap jabatan telah dijalankan di Bilik Sidang Jurutera oleh AJK Pemarkahan di bawah pemantauan pengarah program.



Hari kedua dimulakan dengan sesi moderasi pemilihan pemenang projek terbaik di peringkat jabatan pada waktu pagi. Manakala pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi ceramah BEM Talk yang disampaikan oleh Ir. Noramil Mohd Daril dari Lembaga Jurutera Malaysia dengan tajuk “Introduction to BEM”. Ceramah ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peranan dan hala tuju profesion kejuruteraan di Malaysia. Selepas itu, majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir. Kemuncak majlis adalah pengumuman pemenang projek terbaik mengikut jabatan bagi tiga kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa. Penyampaian hadiah dimulakan dengan kategori Gangsa oleh Ketua Jabatan, diikuti Perak oleh Timbalan Dekan, dan akhir sekali Emas oleh Dekan Fakulti yang turut diiringi oleh pengarah program.

Program diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan minum petang bersama para peserta, panel industri dan barisan pengurusan fakulti. Keseluruhannya, Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir 2025 berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Ia bukan sahaja menjadi platform untuk menilai pencapaian pelajar tahun akhir, malah memperkukuh hubungan strategik antara fakulti, industri dan alumni. Diharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan dan memberi inspirasi kepada generasi jurutera muda UPM pada masa akan datang.

 

 

Tarikh Input: 14/08/2025 | Kemaskini: 14/08/2025 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (12:11:22pm-12:16:22pm, 13 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]