Pelaksanaan Kursus Pendek: Popular Writing And Media Engagement | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Pelaksanaan Kursus Pendek: Popular Writing and Media Engagement

Pelaksanaan Kursus Pendek: Popular Writing and Media Engagement

Serdang, 30 Oktober – Kursus Pendek bertajuk Popular Writing and Media Engagement oleh Prof. Dr. Sarjit Singh A/L Darshan Singh telah dianjurkan oleh Unit Latihan, Fakulti Kejuruteraan (FK) pada 30 Oktober 2024 di Dewan Seminar, FK.

Penganjuran kursus pendek ini adalah bersempena sambutan Program Bulan Pendidik Universiti Putra Malaysia Tahun 2024 yang bertemakan 'Pendidik Unggul Pemangkin Masa Depan Lestari’. Antara tujuan pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan kecemerlangan kualiti pengajaran dan pembelajaran pegawai akademik, memperkasa tahap profesionalisme dan daya saing pegawai akademik UPM ke peringkat antarabangsa serta menyemarakkan kerjasama dan komitmen pegawai akademik dalam merealisasikan matlamat universiti untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Prof. Sarjit Singh merupakan penyelidik dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia dengan Antropologi & Sosiologi (Kajian Minoriti) sebagai bidang pengkhususan. Beliau telah meluaskan minatnya terhadap pengajian minoriti dengan mengkaji komuniti etnik minoriti lain di negara termasuk orang asli di Semenanjung Malaysia serta beberapa etnik orang asli di Sabah dan Sarawak. Teras utama kepakarannya adalah pembangunan sosial masyarakat minoriti di Malaysia bagi memastikan kesepaduan sosial dan pembangunan inklusif.

Beliau juga pernah mengendalikan beberapa latihan dan bengkel akademik dalam metodologi kualitatif di Institut Pentadbiran Awam Negara (INTAN) dan Muzium Negara Malaysia. Kini, beliau berkhidmat sebagai pelatih bagi program penulisan popular dan penglibatan media di bawah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

              Prof. Sarjit Singh sedang memberi maklum balas kepada pertanyaan peserta


Seramai 53 peserta dari pelbagai Pusat Tanggungjawab telah menyertai kursus ini melalui 21 orang yang menyertai secara fizikal dan 32 orang yang menyertai secara maya (Zoom Meeting). Objektif kursus adalah untuk meningkatkan penglibatan peserta untuk menjadi benteng hadapan (frontliner) dalam menyediakan penyelesaian untuk membantu kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara serta mempromosikan keterlihatan universiti dengan menjadi pemimpin yang mesra media, mudah didekati dan memberi impak.

Prof. Sarjit Singh menegaskan bahawa tanggungjawab ahli akademik adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman penyelidikan dan ia boleh dilaksanakan melalui penulisan popular. Penglibatan bersama media pula merupakan medium terbaik untuk ahli akademik berkongsi idea bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memajukan negara.

Tarikh Input: 05/12/2024 | Kemaskini: 05/12/2024 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
F, (06:59:33pm-07:04:33pm, 21 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]