PEMAJU Menyantuni Warga Emas, Membangun Komuniti Prihatin | FAKULTI KEJURUTERAAN eng
» BERITA » PEMAJU Menyantuni Warga Emas, Membangun Komuniti Prihatin

PEMAJU Menyantuni Warga Emas, Membangun Komuniti Prihatin

Beranang, 6 Jun – Seramai 41 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan Program Santuni Kasih, Mekar Budi di Pusat Jagaan Nurhasanah, Beranang, Selangor sebagai usaha memperkasa kesejahteraan warga emas melalui pendekatan service learning yang menggabungkan khidmat komuniti, pembelajaran berasaskan pengalaman dan transformasi persekitaran.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Jagaan Nurhasanah serta disokong oleh Al-Ameen Wakaf Management, OZO Bina Sdn. Bhd., Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak, WAZAN UPM dan komuniti ini memberi tumpuan kepada penyelesaian beberapa keperluan utama pusat jagaan, termasuk penambahbaikan persekitaran fizikal dan pengukuhan kesejahteraan psikososial penghuni.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penghasilan mural pada bahagian hadapan rumah, kerja-kerja mengecat semula dua buah bilik penghuni, landskap hijau melalui penanaman pokok serta pelaksanaan pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional, karaoke dan gotong-royong bersama warga emas. Pendekatan ini bukan sahaja mewujudkan suasana yang lebih ceria dan kondusif, malah mengeratkan hubungan sosial antara mahasiswa dan penghuni rumah jagaan.

 

 

Selain memberi manfaat kepada komuniti, program ini turut menjadi platform pembelajaran autentik kepada mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dalam mengaplikasikan kemahiran pengurusan projek, komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan di luar bilik kuliah. Interaksi secara langsung bersama penghuni turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami cabaran sebenar yang dihadapi oleh institusi kebajikan serta meningkatkan nilai empati, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan.

Dalam ucapan penutup, pihak pengurusan Pusat Jagaan Nurhasanah merakamkan penghargaan atas komitmen mahasiswa UPM dalam menjayakan program tersebut. Mereka menyifatkan usaha transformasi yang dilaksanakan bukan sekadar memperindah persekitaran rumah jagaan, malah memberi suntikan semangat dan kegembiraan kepada para penghuni melalui kehadiran sukarelawan yang meluangkan masa berinteraksi bersama mereka.

Program ini turut membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti khidmat komuniti mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih inklusif. Melalui pendekatan service learning, ilmu yang diperoleh di universiti dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar terhadap keperluan komuniti, sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai keprihatinan sosial serta komitmen untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Program Santuni Kasih, Mekar Budi mencerminkan aspirasi Fakulti Kejuruteraan UPM dalam melahirkan jurutera yang bukan sahaja berkemahiran teknikal, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan selaras dengan matlamat pembangunan mampan serta agenda pemerkasaan komuniti.

Tarikh Input: 11/07/2026 | Kemaskini: 11/07/2026 | aida.peli

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
W, (03:21:31pm-03:26:31pm, 15 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]