Pemindahan Ilmu Putra: Penghasilan Kompos Kulit Durian | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Pemindahan Ilmu Putra: Penghasilan Kompos Kulit Durian

Pemindahan Ilmu Putra: Penghasilan Kompos Kulit Durian

Serdang, 3 Julai – Satu program Pemindahan Ilmu Putra: Penghasilan Kompos Kulit Durian telah diadakan pada 4 November 2023 di Kebun Komuniti, Suria Residence, Pajam, Negeri Sembilan. Seramai 15 orang peserta pekebun komuniti telah mendapat pendedahan tentang menghasilkan kompos kulit durian daripada pensyarah dan pelajar Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam program pemindahan ilmu ini, peserta telah diberi pendedahan melalui beberapa slot ceramah. Perkongsian pertama bertajuk “Kepentingan Pengurusan Sisa Kebun” yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Zulkhairi Mohd Yusoff dari Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM. Slot ceramah kedua bertajuk “Bagaimanakah Cara untuk Proses Pengkomposan”, oleh Dr. Mohd Huzairi Zainudin, penyelidik dari Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, (ITAFoS), UPM.  Manakala dalam slot praktikal pula, peserta telah diajar tentang cara-cara menjalankan Mesin M’SReD (PI2021006005) untuk mencincang kulit durian kepada saiz yang lebih kecil oleh Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin dengan dibantu oleh kumpulan pelajar. Amali tentang cara-cara menghasilkan kompos kulit durian juga dilakukan bersama pekebun komuniti. Program ini mendapat dana daripada Knowledge Transfer Grant Scheme @ PTJ dan turut mendapat sokongan dari Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.

Setiap tahun Malaysia mengeluarkan buah durian pada kuantiti yang tinggi. Dengan itu, jumlah sisa buangan seperti kulit akan menyebabkan keperluan ruang lebih besar untuk perlupusan. Bahkan, pembuangan kulit-kulit di tempat longgokan sampah atau dibuang secara haram. Maka berlakunya pencemaran bau yang busuk, tempat pembiakan nyamuk dan tikus serta mengundang lalat. Ia akan menyebabkan pencemaran alam sekitar dan mengundang penyakit kepada penduduk setempat. Maka, sebagai alternatif bagi pengurangan sisa pertanian ini dengan kitar semula kepada kompos. Menurut Ketua Projek, Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin, kompos merupakan hasil pereputan bahan pertanian atau bahan organik. Nutrien kompos yang dihasilkan adalah bagus untuk digunakan semula kepada tanaman pengusaha kebun komuniti.

Malahan, program ini dilaksanakan bagi menyambut baik Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) bagi memperkasakan komuniti bandar dalam mengoptimumkan penggunaan tanah atau ruang persekitaran melalui aktiviti perkebunan. Dasar ini juga dapat menyokong komitmen Malaysia dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2023, dengan mengintegrasikan elemen Pembangunan ekonomi, perkembangan sosial dan pemuliharaan alam sekitar. Projek ini turut mendapat pingat emas dalam pertandingan Sulam Innovate Showcase (SUISS) 2024 bagi kategori Projek Komuniti.


Foto 1 : Demostrasi Mesin Pencincang Kulit Durian @ MSReD

 
Foto 2 : Kulit durian yang telah dicincang kecil


Foto 3: Amali Penghasilan Kompos Kulit Durian bersama-sama dengan pihak Kebun Komuniti, Suria Residence, Pajam, Negeri Sembilan


Foto 4 : Kompos kulit durian yang dikenali sebagai DuranGro


Foto 5 : Bergambar bersama dengan wakil Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan semua peserta

Tarikh Input: 16/07/2024 | Kemaskini: 16/07/2024 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
X, (04:19:09pm-04:24:09pm, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]