PENGANJURAN PERSIDANGAN STEM TAHUN 2023 SECARA KERJASAMA STRATEGIK JPWPKL-UPM | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » PENGANJURAN PERSIDANGAN STEM TAHUN 2023 SECARA KERJASAMA STRATEGIK JPWPKL-UPM

PENGANJURAN PERSIDANGAN STEM TAHUN 2023 SECARA KERJASAMA STRATEGIK JPWPKL-UPM

Serdang, 25 Oktober – Program Persidangan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2023 telah dilaksanakan pada 25 – 26 Oktober 2023 anjuran secara kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bertempat di Fakulti Kejuruteraan, UPM.

Program ini telah dirasmikan pada 25 Oktober 2023 oleh YBrs. Dr. Rusmini binti Ku Ahmad, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan dilaksanakan secara fizikal di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan UPM. Matlamat persidangan ini dilaksanakan adalah bagi menangani isu penurunan dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi. Pada masa yang sama, Malaysia memerlukan modal insan berpengetahuan tinggi bagi menghadapi cabaran teknologi baharu yang kompleks. Penguasaan STEM mampu menjadi mekanisme terbaik dalam membentuk masa depan negara dan generasi pemimpin yang berilmu, unggul dan berkarisma serta menangani cabaran Revolusi Industri 4.0

Penganjuran dan pelaksanaan Persidangan STEM melalui kerjasama strategik UPM-JPWPKL ini turut menjadi pendekatan menarik untuk memperkukuhkan kefahaman guru dan pelajar kepada subjek STEM kerana program sebegini mengalih fokus daripada dalam bilik darjah secara formal, kepada penerokaan STEM yang berunsurkan inkuiri dan juga didik hibur. Persidangan yang melibatkan penyertaan Jabatan Pendidikan, murid, ibu bapa, pendidik UPM serta golongan industri ini memainkan peranan dalam memastikan aktiviti jaringan masyarakat di pelbagai peringkat dapat dilaksanakan secara konsisten untuk menarik minat pelajar terhadap STEM disamping memperkenalkan, mengaplikasikan serta mengetahui kepentingan STEM dalam kehidupan seharian.

Pelbagai aktiviti menarik yang berjaya dilaksanakan sepanjang persidangan dijalankan seperti Perkongsian Amalan Terbaik, STEM4FUN, FLTL (Fun Learning Toy Library), PdP Berkesan, Teknologi Maklumat (Pengenalan Jenis Sensor dan Data Acqusition System), Eksplorasi UPM (Makmal), Naratif Bual Bicara, Majlis Pelancaran Pendigitalan Hands-On Book (E-Hob) serta reruai yang mempamerkan industri seperti Al-Amin Consultancy (Perancang Tabung Pendidikan), Mohsin Kid, Ascoedutech dan Lembaga Jurutera. Diharapkan agar persidangan sebegini dapat digiatkan lagi dan dipanjangkan kepada pihak sektor lain agar rakyat Malaysia dapat berganding bahu membantu negara dalam membentuk modal insan, menjadi ejen penemuan sains dan teknologi masa depan.

Tarikh Input: 30/11/2023 | Kemaskini: 30/11/2023 | puteriamirah

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEcPA2~