PUTRA 2 Wakil Tunggal Malaysia Dalam Pertandingan Antarabangsa Formula SAE Jepun 2026 | FAKULTI KEJURUTERAAN eng
» BERITA » PUTRA 2 Wakil Tunggal Malaysia Dalam Pertandingan Antarabangsa Formula SAE Jepun 2026

PUTRA 2 Wakil Tunggal Malaysia Dalam Pertandingan Antarabangsa Formula SAE Jepun 2026

Serdang, 26 Jun – Fakulti Kejuruteraan, UPM telah menganjurkan Majlis Pelancaran Kereta Lumba UPM ke Pertandingan Antarabangsa Formula SAE Jepun 2026 di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia. Kereta Lumba UPM iaitu PUTRA 2 akan mewakili Malaysia bagi penyertaan dalam pertandingan lumba kereta antarabangsa, iaitu Formula SAE Japan 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 7 Ogos 2026 di Tokoname City, Aichi, Jepun. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM.

Pembinaan kereta lumba UPM ini telah dilaksanakan dalam tempoh enam bulan oleh lebih daripada 70 orang pelajar UPM daripada kelab Putra Motorsport Team (PMT) yang terdiri daripada pelbagai jabatan, termasuk Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (KMP), Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi (KKK), serta Jabatan Kejuruteraan Awam (KAW) di bawah bimbingan 15 orang penasihat teknikal dan pengurusan yang diterajui oleh Jabatan KMP. PUTRA 2 yang merupakan kesinambungan kepada PUTRA 1 yang telah dilancarkan pada tahun 2024 menjadi penerus kepada revolusi kemajuan dan inovasi dalam penciptaan kereta lumba yang telah dimulakan menerusi penghasilan PUTRA 1. PUTRA 2 merupakan kereta keempat yang dihasilkan oleh PMT selepas PUTRA 1 (2024), LEKIR (2018) dan JEBAT (2016).

Pertandingan Formula SAE Japan ini dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu acara statik dan dinamik. Pertandingan ini bukan sahaja menilai prestasi pemanduan, penekanan kepada aspek menyeluruh seperti pemasaran, perancangan, reka bentuk, pengeluaran dan pengurusan kos. Secara tidak langsung, ia menyediakan platform kepada pelajar untuk memperkukuh Kemahiran serta membuka peluang kepada pihak industri mengenal pasti bakat berpotensi yang mampu menerajui industri automotif pada masa hadapan. Penghasilan kereta lumba formula perlu mengutamakan pelbagai aspek bagi memenuhi spesifikasi kereta serta piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan. Oleh itu, kos pembinaannya adalah tinggi kerana melibatkan penggunaan bahan yang mempunyai spesifikasi khusus.

Penghasilan PUTRA 2 tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan daripada barisan penaja iaitu Syarikat Embun Karisma Resources (M) Sdn Bhd selaku penaja utama, Syarikat Ranhill Utilities Berhad selaku penaja ‘Gold’ (Gold Sponsor), Syarikat Amtel Cellular Sdn. Bhd., Syarikat Gogges Hardware Sdn. Bhd. dan Syarikat Pautan Legasi Sdn. Bhd. Tidak dilupakan juga barisan syarikat yang memberi sokongan penajaan berupa in-kind iaitu CF MOTO, CAD-IT Consultant (Asia) Pte Ltd (Private Limited), Anders Trading Sdn. Bhd., Future Auto Gearbox Ampang, Altus Engineering and Trading Sdn. Bhd., dan Velocity Race Innovations Sdn. Bhd.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, pihak industri, para penaja, penyumbang, pegawai akademik dan staf Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (KMP), serta seluruh ahli fakulti yang terlibat atas kesungguhan, kesepakatan, kerjasama dan pengorbanan masa dalam menjayakan majlis ini. Selamat maju jaya diucapkan kepada kelab Putra Motorsport Team.

 

Tarikh Input: 30/06/2026 | Kemaskini: 30/06/2026 | nurulnadira

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397694098
0397694488
X, (05:40:56am-05:45:56am, 25 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]