Tingkatkan Kesedaran Kepentingan Penyusuan Ibu | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » Tingkatkan kesedaran kepentingan penyusuan ibu

Tingkatkan kesedaran kepentingan penyusuan ibu

Oleh Nisa Khairina Amirudin

Foto Marina Ismail

SERDANG, 7 Ogos – Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bertujuan menyebarkan maklumat dan khidmat nasihat kesihatan serta perkongsian pengalaman kepada masyarakat setempat.

Program itu yang diadakan bersempena dengan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia (WBW) yang disambut pada 1-7 Ogos setiap tahun, telah dianjurkan sejak 2013 dan merupakan program khidmat tanggungjawab sosial (CSR) jabatan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berharap program seperti itu akan dapat meningkatkan lagi kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan penyusuan susu ibu.

“Kementerian juga berusaha menyediakan sokongan bagi mendorong para ibu melakukan penyusuan ibu,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pula berkata, pelbagai kajian telah membuktikan kebaikan menyusukan bayi dengan susu ibu.

Katanya, bagi menyahut dan menyokong saranan Kementerian Kesihatan untuk mempromosikan penyusuan ibu, Hospital Pengajar UPM (HPUPM) komited untuk mencapai matlamat ke arah pengiktirafan Hospital Rakan Bayi.

Antara objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran umum khususnya pasangan muda mengenai kepentingan penyusuan ibu, memberikan motivasi dan garis panduan untuk penyusuan ibu, menyebarkan maklumat dan khidmat nasihat kesihatan khasnya berkaitan wanita kepada masyarakat serta mendekatkan masyarakat setempat dengan staf kesihatan terutamanya daripada HPUPM.

Program Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2019 yang bertemakan “Caknakan Ibu bapa, Jayakan Penyusuan” itu diisi dengan pelbagai program seperti forum ‘Eh! Mudahnya Breastfeeding’, peragaan fesyen busana penyusuan, kuiz, kaunseling serta demonstrasi penyusuan dan masakan mesra penyusuan.

Jabatan Obstetrik dan Ginekologi FPSK berkolaborasi dengan Klinik As-Salam dan Pusat Laktasi Kebangsaan serta mendapat sokongan daripada Majalah Pa & Ma, 9 bulan 10 hari serta HPUPM dalam menjayakan program Sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2019 itu. - UPM

 

Tarikh Input: 01/10/2019 | Kemaskini: 01/10/2019 | amirahsyahira

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXESJAY~