UPM, MAB Jalin Kerjasama Penyelidikan Bidang Penerbangan | FAKULTI KEJURUTERAAN
» BERITA » UPM, MAB jalin kerjasama penyelidikan bidang penerbangan

UPM, MAB jalin kerjasama penyelidikan bidang penerbangan

SERDANG, 21 Feb: Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dua hala menjalankan penyelidikan berteraskan bidang penerbangan.

Kerjasama itu merangkumi pelbagai aspek termasuk penyelidikan, pendidikan dan ekonomi.

Ia termasuk pertukaran pelajar, pertukaran staf akademik, aktiviti penyelidikan bersama serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Dr. Nor Kamariah Noordin bagi pihak UPM, manakala MAB diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Pengurus Business and Development, Engineering Training Department, Dr Umran Abdul Rahman.

Ia disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Mahuz Omar. Turut hadir Pengarah Pusat Penerbit UPM, Prof. Ir. Ts. Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan.

Prof. Ts. Dr. M. Iqbal berkata, hubungan yang dijalin itu bakal membuka ruang kepada pelajar UPM untuk menyumbang kepakaran kepada industri aeroangkasa negara.

“Kita berharap semua aktiviti dan projek kolaborasi yang diadakan melalui MoU ini akan dapat menghasilkan harta intelek yang boleh dimajukan sehingga ke tahap pengkomersialan serta membawa manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan memberi peluang kepada staf dan pelajar untuk menjalankan penyelidikan bersama di Malaysia Airlines tanpa ada implikasi kewangan, manakala pegawai akademik yang menjalankan sangkutan industri atau sabatikal tidak dikenakan sebarang kos penempatan.

Ahmad Luqman pula berkata, MoU itu menyediakan peluang kerjasama kedua-dua entiti UPM dan MAB dalam memajukan lagi bidang penerbangan serta pada masa yang sama merapatkan jurang di antara teori dan latihan praktikal.

“Malaysia Airlines mempunyai kepakaran dalam penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang diiktiraf oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, kami amat teruja untuk berkongsi kepakaran ini dalam usaha melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif,” katanya. – UPM

Tarikh Input: 12/03/2020 | Kemaskini: 12/03/2020 | khairulazman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
C1601508330