JKR, UTM, UPM Meterai MoU | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » JKR, UTM, UPM meterai MoU

JKR, UTM, UPM meterai MoU

PETALING JAYA: Bahagian Perkhidmatan Forensik Struktur, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Menurut JKR, antara usul utama yang dipersetujui adalah untuk mengadakan kerjasama strategik bagi bidang penyelidikan, perundingan dan latihan profesional bagi bidang kejuruteraan forensik. 

Katanya, dengan adanya kerjasama itu, pihak UTM dan UPM masing-masing di bawah Pusat Kejuruteraan Forensik (FEC) dan Jabatan Kejuruteraan Awam berpeluang untuk berkongsi khidmat nasihat kepakaran dengan pihak JKR. 

“Kolaborasi ini memberi manfaat kepada kakitangan JKR melalui pendedahan teknologi dan penyelidikan terkini, di samping keterlibatan pihak Universiti dalam penyelesaian masalah secara praktikal atau hands on

“Dalam bidang pengujian bahan pula, kepelbagaian makmal di Universiti yang merentasi pelbagai disiplin seperti makmal Civil Engineering Testing Unit (CETU) di UTM dan Makmal Kejuruteraan Awam di UPM, membolehkan penyelidikan dan perundingan dapat dijalankan bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, perkara itu pastinya memberikan kelebihan kepada kerajaan dari segi penjimatan kos dan masa. 

Katanya, pelaksanaan program ilmiah juga dijadikan nilai tambah dalam kolaborasi ketiga-tiga pihak itu. 

“Antaranya, perkongsian ilmu melalui penganjuran seminar dan kursus jangka pendek di dalam bidang kejuruteraan forensik. 

“Ini dapat memberi peluang kepada pegawai JKR dan pihak universiti untuk menjadi penceramah, fasilitator atau sebagai peserta. 

“Termeterainya MoU ini, maka, ia dapat memperkasakan perkhidmatan kejuruteraan JKR melalui penghasilan modal insan yang kreatif, inovatif dan teknologi terkini, seterusnya berupaya bertindak sebagai pemberi perkhidmatan yang bertaraf dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Date of Input: 03/11/2021 | Updated: 03/11/2021 | khairulazman

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
CUMHFAl:05:09