Serdang, 9 Oktober 2024 - Pada tahun ini, Fakulti Kejuruteraan mengalu-alukan kemasukan para pelajar baharu yang dipilih untuk mengikuti program Bacelor Kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) seramai 519 pelajar baharu yang terdiri daripada 468 pelajar tempatan dan antarabangsa yang mendaftar bagi sesi akademik 2024/2025 diFakulti Kejuruteraan. Manakala, seramai 51 pelajar mobiliti yang mendaftar pada hari tersebut. Majlis Minggu Perkasa Putra di peringkat fakulti diadakan di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan bagi meraikan kedatangan para pelajar baharu.
Program dimulakan dengan pergerakan masuk para pelajar baharu mengikut jabatan diikuti oleh ahli pengurusan fakulti ke dalam auditorium bermula seawal jam 8.00 pagi. Majlis secara rasminya dimulakan dengan nanyian lagu Negaraku dan Putra Gemilangseterusnya bacaan doa oleh Saudara Aidil Danial. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan taklimat dan pengenalan ahli pengurusan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Profesor Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab. Kadir. Beliau sangat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu dan pelajar mobiliti ke fakulti kejuruteraan bagi sesi 2024/2025.
Majlis diteruskan lagi dengan taklimat akademik yang disampaikan oleh Profesor Ir. Dr. Raizal Saifulnaz Muhammad Rashid Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar & Alumni). Dalam sesi taklimat ini beliau menerangkan beberapa poin penting kepada pelajar mengenai akademik antara konten yang disampaikan kepada pelajar ialah ialah mengenai etika pelajar, pendidikan berasaskan hasil (OBE), pengajaran dan penilaian dan hal-hal berkaitan akademik. Tidak ketinggalan juga, beliau juga mengingatkan para pelajar untuk sentiasa menjaga disiplin diri sepanjang pengajian.
Selepas daripada taklimat akademik oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) majlis diteruskan dengan taklimat keselamatan kepada pelajar baharu Fakulti Kejuruteraan sesi 2024/2025 oleh Ts. Mohd Izhwan Muhamad iaitu Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Fakulti Kejuruteraan. Taklimat ini bertujuan untuk memberi maklumat dan pendedahan keselamatan mengenai langkah-langkah keselamatan dan pencegahan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kemalangan yang tidak dijangka semasa berada di makmal mahupun dalam kawasan fakulti. Taklimat terakhir pula disampaikan oleh saudara Muhammad Azmin Izzuddin Timbalan Presiden II Majlis Perwakilan Fakulti Kejuruteraan (PEMAJU). Beliau memperkenalkan barisan barisan jawatankuasa (PEMAJU), kelab-kelab jabatan fakulti dan juga aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan.
Setelah selesai taklimat dan pengenalan ahli pengurusan, majlis diteruskan lagi dengan sesi taklimat pendaftaran pelajar dan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Puan Cik Nora Abdullah. Dalam sesi ini, pelajar diberi peluang untuk mengajukan soalan secara bersemuka mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pelajar semasa pendaftaran kursus. Sesi ini tamat pada jam 12.15 tengahari dan pelajar -pelajar mula bergerak untuk rehat makan tengahari dan solat zohor sehingga jam 2.30 petang. Selepas itu, pada sebelah petang pula pelajar terlibat dengan program bersama jabatan bertempat di dewan kuliah 1 hingga 8 sehingga pukul 5.00 petang. Akhir kata, selamat datang buat semua pelajar baharu Sesi 2024/2025 dan pelajar mobiliti ke Fakulti Kejuruteraan, UPM.





Date of Input: 17/10/2024 | Updated: 17/10/2024 | puteriamirah

Faculty of Engineering,
Universiti Putra Malaysia,
43400 UPM Serdang,
Selangor Darul Ehsan.
Malaysia.
Undergraduate: 03 9769 6272/6275
Postgraduate: 03 9769 6266/4430