SYABAS PELAJAR UPM ATAS KEMENANGAN DI UROCK 2023 | FACULTY OF ENGINEERING
» NEWS » SYABAS PELAJAR UPM ATAS KEMENANGAN DI UROCK 2023

SYABAS PELAJAR UPM ATAS KEMENANGAN DI UROCK 2023

Kangar, 2 Disember - Tahniah diucapkan kepada Kelab Robotik UPM yang diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Hafiz Rashidi Ramli atas kemenangan yang dirangkul di pertandingan robotik University Robot Competition (UROCK 2023) bertemakan “Kingdom of Champions” yang telah diadakan di Kangar, Perlis pada 1-3 Disember 2023. Pertandingan anjuran Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi ini merupakan antara pertandingan robotik berprestij di Malaysia. Pasukan Kelab Robotik UPM terdiri daripada 17 orang pelajar lelaki dan 5 orang pelajar perempuan dari pelbagai bidang kejuruteraan termasuk Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi dan Kejuruteraan Aeroangkasa.

Untuk tahun ini, pertandingan terbahagi kepada tiga acara iaitu “Legged Robot Race”, “Rope Climbing Race” dan “Drone Delivery Challenge”. Pasukan UPM telah menghantar tiga pasukan dalam acara “Legged Robot Race” dan satu pasukan dalam acara “Rope Climbing Race”. Mereka turut mendapat saingan yang hebat dari pelbagai universiti tempatan seluruh negara, termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Melaka (UTEM) dan Sunway University. Pertandingan ini bukan sahaja mempamerkan reka bentuk robot malah turut menyumbang kepada kemajuan ilmu dalam bidang robotik melalui pembentangan dan demonstrasi oleh setiap pasukan yang mengambil bahagian.

Alhamdulillah, pasukan UPM telah berjaya meraih tiga anugerah berjumlah RM 1,300.00 daripada pertandingan tersebut iaitu:

  1. Tempat Ketiga dalam Pertandingan “Rope Climbing Robot”
  2. Tempat Kedua dalam Pertandingan Poster “Rope Climbing Robot”
  3. Tempat Kedua dalam Pertandingan Poster “Legged Robot Race”

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Prof. Ts. Dr. Wan Zuha Wan Hasan sebagai penasihat Kelab Robotik UPM, Ahli Pengurusan Fakulti Kejuruteraan dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik atas bimbingan dan sokongan yang diberikan.

Semoga kejayaan yang diperoleh dapat menggalakkan lagi penglibatan pelajar Fakulti dalam pertandingan berkaitan teknologi dan inovasi sebegini, sekaligus mempertingkat nilai keilmuan dalam kalangan generasi muda dan mengharumkan nama UPM di persada negara.

Date of Input: 07/12/2023 | Updated: 07/12/2023 | puteriamirah

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDCBAj~