Perkasa Inovasi Pelajar | FAKULTI KEJURUTERAAN
» ARTIKEL » Perkasa inovasi pelajar

Perkasa inovasi pelajar

DALAM usaha berterusannya untuk memperkasakan masyarakat menerusi pendidikan dan kajian, Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi cabang inovasinya, TM Research & Development (TM R&D) menyumbangkan peralatan, komponen dan bahan kajian dan pembangunan (R&D) yang dimilikinya bernilai RM3.5 juta kepada universiti tempatan.

Sumbangan berkenaan bertujuan menempatkan peralatan berteknologi tinggi bagi meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk pasaran kerjaya.

Mengulas mengenai inisiatif ini, Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D Dr Sharlene Thiagarajah berkata, pihaknya percaya bahawa budaya R&D yang kukuh amat penting untuk melonjakkan Malaysia sebagai Negara Digital.

"Kami berharap langkah mendedahkan pelajar kepada peralatan kajian membantu melengkapkan pembelajaran teori dalam kelas.

"Ini merangkumkan peranan strategik kami sebagai pemangkin dalam mempersiapkan kumpulan tenaga kerja berbakat untuk industri pada masa hadapan yang menjadi sebahagian komponen penting dalam memacu aspirasi digital negara," katanya.

Inisiatif ini dimulakan pada November tahun lalu dengan peralatan dan bahan berkaitan teknologi diagihkan kepada empat universiti tempatan iaitu Fakulti Kejuruteraan di Universiti Multimedia (MMU), Fakulti Kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Fakulti Kejuruteraan dan Sains Lee Kong Chian di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektroniknano (IMEN) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menariknya, inisiatif terbaharu itu menempatkan himpunan peralatan Low Temperature Co-Fire Ceramic (LTCC) bernilai RM1.79 juta di Fakulti Kejuruteraan di UPM.

Teknologi ini digunakan dalam pemasangan dan pembungkusan komponen elektronik pelbagai lapisan untuk industri elektronik.

Peralatan penting yang disumbangkan kepada UPM termasuk Sistem Percetakan KEKO, Ceramic Foil Stacker, Viscometer dan Isostatic Laminator Machine.

Fakulti Kejuruteraan di MMU menerima peralatan saintifik khusus untuk kajian inovatif termasuk keupayaan untuk menyokong proses pembuatan peranti perubatan elektronik, peranti mikroelektronik, sirkit bersepadu (ICs) dan Organic Light-Emitting Diode (OLED) bernilai RM1.26 juta, manakala Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektroniknano di UKM menerima 3-D Contact Optical Profiler bernilai RM495,000.

"Kami amat gembira dapat menyokong fokus tanggungjawab korporat (CSR) Kumpulan TM untuk memperkasakan pelajar menerusi inovasi dan teknologi.

"Dengan akses kepada peralatan berteknologi tinggi, kami berharap penuntut dapat mencipta penyelesaian bagi memberi manfaat kepada manusia sejagat," tambah Dr Sharlene.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:50 AM
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my

Tarikh Input: 14/01/2021 | Kemaskini: 14/01/2021 | khairulazman

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI KEJURUTERAAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXDdTAW~