Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) ditubuhkan pada tahun 1975 sebagai Fakulti Kejuruteraan Pertanian, dengan penawaran awal program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian. Seiring dengan perkembangan ilmu dan keperluan negara, fakulti ini telah melalui proses transformasi akademik yang menyaksikan penubuhan beberapa jabatan baharu dalam bidang kejuruteraan utama.
Pada tahun 2001, Fakulti Kejuruteraan berpindah ke Kompleks Kejuruteraan di Kampus UPM Serdang yang dibangunkan secara berfasa, dan siap sepenuhnya pada 2011. Kompleks ini dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran, penyelidikan dan makmal berteknologi tinggi yang menyokong perkembangan pengajian kejuruteraan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kini, Fakulti Kejuruteraan merupakan salah satu fakulti terbesar dan paling berprestij di Universiti Putra Malaysia, dengan komuniti pelajar yang melebihi 3,000 orang. Fakulti ini terdiri daripada lapan jabatan akademik, iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Kejuruteraan Komputer dan Sistem Komunikasi, Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, serta Kejuruteraan Proses dan Makanan.
Sejak penubuhannya, Fakulti Kejuruteraan telah melahirkan puluhan ribu jurutera profesional, penyelidik dan pemimpin industri yang berperanan penting dalam pembangunan negara serta berdaya saing di persada global.
1975 – Penubuhan Fakulti Kejuruteraan Pertanian dengan penawaran Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian.
1984 – Fakulti ditukar nama kepada Fakulti Kejuruteraan, selaras dengan perluasan bidang akademik dan penyelidikan.
1980-an hingga 1990-an – Penubuhan dan pengembangan jabatan-jabatan akademik baharu, sehingga kini berjumlah 8 jabatan, iaitu:
Kejuruteraan Awam
Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar
Kejuruteraan Aeroangkasa
Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem
Kejuruteraan Bioperubatan
Kejuruteraan Komputer dan Komunikasi Sistem
1990-an hingga 2000-an – Fakulti memperkukuh kedudukannya sebagai fakulti penyelidikan melalui penubuhan pusat penyelidikan dan institut, antaranya: Control System and Signal Processing Research Centre (CSSP)
Wireless and Photonic Networks (WiPNET)
Institut Cemerlang Teknologi Aeroangkasa (ICET)
2009 – Program-program Ijazah Kejuruteraan Fakulti Kejuruteraan UPM mendapat pengiktirafan penuh Washington Accord melalui Lembaga Akreditasi Kejuruteraan (EAC), meletakkan graduan fakulti setaraf dengan universiti antarabangsa. 2010-an – Fakulti mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai industri dan agensi antarabangsa dalam bidang aeroangkasa, telekomunikasi, bioperubatan, teknologi pintar dan kelestarian.
2020-an – Fakulti mengekalkan reputasi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan kejuruteraan, dengan penglibatan aktif dalam institut penyelidikan universiti merangkumi bahan komposit, aeroangkasa, nanoteknologi, bioperubatan dan alam sekitar.
2025 – Fakulti Kejuruteraan meraikan Jubli Emas 50 Tahun (1975–2025), menandakan lima dekad sumbangan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan negara.
SENARAI MANTAN DEKAN FAKULTI KEJURUTERAAN : KLIK DI SINI
Sepanjang lima dekad penubuhannya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia telah melakar pelbagai kejayaan signifikan yang memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi teknikal yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara pencapaian utama yang menjadi kebanggaan fakulti adalah seperti berikut:
Akreditasi Antarabangsa Semua program pengajian ijazah sarjana muda kejuruteraan telah mendapat pengiktirafan penuh di bawah Washington Accord, yang meletakkan kelayakan graduan fakulti setaraf dengan jurutera profesional di seluruh dunia.
Pembangunan Akademik dan Graduan Sejak tahun 1975, fakulti telah melahirkan lebih daripada 30,000 graduan kejuruteraan yang berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Fakulti turut mengekalkan reputasi sebagai salah sebuah fakulti terbesar di UPM dengan kepelbagaian program dan pelajar dari pelbagai negara.
Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti muncul sebagai peneraju dalam penerbitan ilmiah berimpak tinggi dalam bidang kejuruteraan. Selain itu, fakulti juga telah menghasilkan pelbagai ciptaan, paten dan produk inovasi yang berjaya dikomersialkan, khususnya dalam bidang aeroangkasa, komunikasi, bahan komposit, bioperubatan serta pertanian pintar.
Pengiktirafan dan Anugerah Penyelidik-penyelidik fakulti telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk melalui penganugerahan di Geneva Invention Exhibition, Malaysia Technology Expo (MTE) dan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX).
Alumni Berprestij Ramai alumni Fakulti Kejuruteraan kini memegang jawatan penting sebagai tokoh industri, ahli akademik, jurutera profesional, penggubal dasar dan usahawan yang menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti global.
Jaringan Strategik Fakulti telah menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama strategik bersama industri, agensi kerajaan serta universiti antarabangsa, termasuk Airbus, Petronas, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan rakan universiti bertaraf dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan fakulti dalam ekosistem pendidikan dan penyelidikan global.