Tahun 2025 menandakan satu detik yang amat bersejarah bagi Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, apabila genaplah usia 50 tahun sejak fakulti ini ditubuhkan pada tahun 1975. Dalam tempoh setengah abad ini, Fakulti Kejuruteraan telah menempuh perjalanan yang penuh dengan cabaran, peluang, serta kejayaan yang membanggakan. Bermula sebagai sebuah fakulti dengan fokus awal kepada bidang Kejuruteraan Pertanian, fakulti ini telah berkembang maju dan berevolusi menjadi sebuah pusat kecemerlangan ilmu serta penyelidikan yang unggul, yang kini menaungi pelbagai disiplin utama dalam bidang kejuruteraan.
Sepanjang lima dekad yang lalu, Fakulti Kejuruteraan telah memainkan peranan penting dalam melahirkan ribuan graduan berkualiti tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah turut memberi impak di peringkat antarabangsa. Para graduan ini telah menjadi tunjang kepada kemajuan dalam pelbagai sektor termasuk industri, penyelidikan, pendidikan, dan juga khidmat masyarakat. Kejayaan fakulti ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi para pensyarah, penyelidik, kakitangan sokongan, serta seluruh warga fakulti yang telah berusaha keras membina asas kukuh bagi kecemerlangan ilmu dan inovasi.
Kini, Fakulti Kejuruteraan berdiri sebagai salah satu fakulti terbesar dan paling berprestij di Universiti Putra Malaysia, dengan komuniti pelajar yang berjumlah melebihi 3,000 orang. Fakulti ini menempatkan lapan jabatan akademik utama, iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Kejuruteraan Komputer dan Sistem Komunikasi, Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, serta Kejuruteraan Proses dan Makanan. Melalui kepelbagaian disiplin ini, fakulti berupaya menawarkan pendidikan dan penyelidikan yang holistik, seterusnya menjadikan UPM sebagai salah satu universiti rujukan dalam bidang kejuruteraan di rantau ini.
Bersempena dengan sambutan Jubli Emas Fakulti Kejuruteraan UPM (1975–2025) yang akan berlangsung pada 19 hingga 22 November 2025, pelbagai program dan aktiviti telah dirangka bagi memperingati sejarah panjang dan pencapaian gemilang fakulti. Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenang jasa dan sumbangan generasi terdahulu yang telah membina asas kukuh fakulti ini, tetapi juga menjadi medan untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan jalinan strategik antara warga fakulti, alumni, rakan industri, serta komuniti setempat dan antarabangsa.
Sambutan Jubli Emas ini turut berperanan sebagai landasan penting untuk merangka halatuju baharu fakulti dalam mendepani cabaran masa hadapan. Ia menjadi titik tolak untuk memperluas jaringan kerjasama, memupuk budaya inovasi, serta memperkasa peranan fakulti dalam memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat dan negara. Sambutan Jubli Emas ini menjadi simbol kepada penghargaan terhadap perjalanan lima dekad yang penuh makna, serta sebagai iltizam untuk terus mara ke hadapan dalam menjunjung kecemerlangan pada masa hadapan.
Objektif pelaksanaan program adalah sebagaimana berikut:
(i) Mengiktiraf sejarah dan pencapaian FK sepanjang 50 tahun dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan di peringkat nasional dan antarabangsa.
(ii) Menghargai jasa dan sumbangan tenaga akademik, staf sokongan, alumni serta pelajar yang telah menyumbang kepada kecemerlangan fakulti.
(iii) Mengeratkan hubungan silaturahim antara warga FK, alumni dan rakan industri melalui aktiviti-aktiviti berimpak tinggi dan bersifat inklusif.
(iv) Memperkukuh kerjasama strategik antara FK dan pihak berkepentingan dalam usaha memperluaskan jaringan industri, komuniti dan antarabangsa.
(v) Menonjolkan pencapaian dan visibiliti FK melalui pameran inovasi, seminar, bengkel dan aktiviti berkaitan teknologi kejuruteraan semasa.
(vi) Menggalakkan semangat kebersamaan dan identiti FK sebagai institusi yang berwawasan dan berdaya saing di peringkat global.
Kumpulan Sasaran
(a) Semua pegawai dan staf semasa FK
(b) Semua pelajar semasa
(c) Alumni staf dan pelajar
(d) Rakan industri dan korporat
(e) Wakil kementerian dan pihak berkuasa tempatan
(f) Komuniti awam dan media
JUSTIFIKASI PELAKSANAAN PROGRAM
(a) Menandakan Detik Bersejarah 50 Tahun
Sebagai mekanisme untuk memperingati ulang tahun ke-50 FK terutama pencapaian berimpak yang wajar diraikan secara rasmi sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan fakulti sejak penubuhannya.
(b) Menghargai Sumbangan dan Legasi
Sebagai medan untuk menghargai jasa warga fakulti, alumni, dan tenaga kerja yang telah memainkan peranan dalam membina reputasi UPM sebagai institusi kejuruteraan terkemuka.
(c) Mengukuhkan Jalinan Komuniti & Alumni
Sebagai medium membolehkan alumni dan komuniti kejuruteraan kembali bersatu, memperkukuh jaringan profesional dan menyemarakkan semangat kekitaan, melalui penganjuran pelbagai aktiviti bersama.
(d) Mempamerkan Keunggulan Akademik dan Inovasi
Sebagai wadah FK menonjolkan hasil penyelidikan, inovasi dan kepakaran yang menyumbang kepada pembangunan negara dan teknologi global, melalui pameran, forum dan seminar,
(e) Mendukung Matlamat Pengantarabangsaan & Jaringan Industri
Sebagai platform yang membuka peluang kerjasama strategik serta memperluas pengaruh fakulti di peringkat global, melalui penglibatan rakan industri dan delegasi antarabangsa.
(f) Membina Aspirasi Masa Depan dan bidang Kejuruteraan
Program ini bukan sekadar retrospektif, tetapi juga merangka hala tuju dan visi baharu yang relevan untuk dekad akan datang dalam pendidikan dan penyelidikan kejuruteraan.
HASIL / IMPAK / OUTCOME PROGRAM :
(i) Meningkatkan keterlihatan dan reputasi fakulti
(ii) Mengukuhkan jaringan alumni dan rakan industri
(iii) Menjana inspirasi kepada pelajar dan bakal pelajar
(iv) Menyumbang kepada pembangunan budaya akademik dan sosial