RIAU AGRIAQUA 2019, PIONEER FOR INTERNATIONAL COMMUNITY PROJECT FACULTY OF ENGINEERING | FACULTY OF ENGINEERING
» ARTICLE » RIAU AGRIAQUA 2019, PIONEER FOR INTERNATIONAL COMMUNITY PROJECT FACULTY OF ENGINEERING

RIAU AGRIAQUA 2019, PIONEER FOR INTERNATIONAL COMMUNITY PROJECT FACULTY OF ENGINEERING

Oleh Dr Muhammad Heikal Ismail

 

Teluk Belitung (Indonesia) 25 Jun 2019 - Satu kerjasama pengembangan komuniti antara pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia yang diketuai oleh Dr. Muhammad Heikal bin Ismail dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan dan EMP Malacca Straits SA, sebuah syarikat perusahaan minyak dan gas yang berpengkalan di Jakarta telah diadakan untuk komuniti petani di Kepulauan Riau, Indonesia. Projek komuniti tersebut yang dinamakan Riau AgriAqua turut melibatkan kerjasama dari Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Meranti yang menyediakan tapak lokasi dan sumbangan tenaga kerja ahli jawatankuasa. Riau AgriAqua merupakan projek komuniti antarabangsa pertama yang melibatkan kepakaran penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, UPM untuk memberikan solusi sistem penapisan air untuk penduduk di Kepulauan Meranti.

 

Penduduk di Kepulauan Meranti telah menghadapi kesukaran mendapatkan sumber air bersih untuk tempoh yang sangat lama. Ekoran kedudukan geografinya yang dikelilingi oleh tanah gambut, sumber air di sini rata-rata dalam keadaan warna oren. Air tersebut yang mempunyai rasa masam telah menjadi satu-satunya sumber air buat penduduk di sana. Air tersebut jugalah digunakan oleh mereka untuk mandi, minum, membasuh baju dan juga untuk keperluan harian yang lain. Di samping itu, mereka juga menadah air hujan sebagai alternatif untuk mendapatkan sumber air yang lebih menjamin terutamanya dari segi keyakinan warna.

 

Oleh itu, Dr Muhammad Heikal telah membuat tinjauan awal dengan mengambil sampel air di beberapa lokasi di seluruh kawasan desa tersebut pada 21 Mac 2019 yang lalu. Sampel tersebut diambil di lokasi yang dapat memberikan gambaran tepat terhadap keseluruhan sistem penapisan air yang akan dipasang pada lawatan fasa kedua kelak. Sejurus selepas itu, seramai 5 orang penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan tersebut telah bekerja dengan erat bersama empat orang pelajar termasuk seorang dari Putra Business School untuk menjalankan analisis terhadap sampel air itu. Berdasarkan penelitian yang dilakukan, beberapa siri sistem penapisan air telah direkabentuk dan digunapakai untuk mengenal pasti keberkesannya.

 

Justeru, lawatan fasa pertama ke Kepulauan Meranti telah diadakan pada 25 sehingga 28 Jun 2019 yang bertujuan untuk melakukan demonstrasi terhadap sistem penapisan air dengan menggunakan unsur alam yang terdapat di kawasan ini. Batu kecil putih, pasir halus berwarna putih, biji Moringa, sabut kelapa, dan arang diperbuat dari batang sagu telah diperolehi dan dibersihkan untuk digunakan dalam sistem penapisan air. Projek fasa pertama yang melibatkan pemindahan ilmu kepentingan air bersih dan sistem penapisan air telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila dihadiri oleh lebih 80 orang penduduk di kawasan yang terpencil ini.

 

Demonstrasi tersebut telah berjaya membuktikan kepada penduduk Kepulauan Meranti bahawa sistem penapisan air yang dicadangkan berjaya menjernihkan kesemua air berwarna oren yang dibawa oleh mereka dan seterusnya membuang rasa masam pada air asal. Sejurus selapas kejayaan demonstrasi tersebut, penduduk kampung bertepuk tangan dengan penuh bersemangat sebagai menyatakan sokongan terhadap sistem yang dicadangkan itu. Atas sebab itu, penduduk desa berasa begitu teruja untuk berinteraksi dengan begitu aktif dengan pihak penyelidik bagi berkongsikan pengalaman mereka menjalankan proses penapisan air sebelum ini sama ada secara langsung ataupun pengalaman secara pemerhatian.

 

Atas perkembangan berkaitan, lawatan ini telah mendapat peruntukan berjumlah lebih RM 15000 dalam bentuk tiket kapal terbang dari Fakulti Kejuruteraan dan EMP Malacca Straits yang menyediakan kelengkapan penginapan, makanan dan termasuk kos konsultasi sepanjang berada di sana. Lawatan ini juga telah mendapat liputan antarabangsa dari media Ranah Riau bilamana pihak wartawan turut sama menyertai lawatan sepanjang tiga hari tersebut.

 

Selepas aktiviti berakhir, penduduk desa mengambil kesempatan untuk merakamkan kenangan gambar bersama dengan penyelidik dan pelajar UPM yang telah memberikan harapan baru buat mereka. Malah, mereka kelihatan amat berazam untuk memastikan lawatan fasa kedua yang akan dilakukan untuk pemasangan sistem penapisan tersebut akan dapat dijayakan dengan penuh cemerlang untuk seterusnya mengubah lanskap kehidupan mereka selepas ini. Sama-sama kita doakan agar projek ini dapat dimanfaatkan untuk lebih 5000 orang penduduk di Kepulauan Meranti ini.

 

 

Rajah 1. Pasukan dari Universiti Putra Malaysia berangkat dari KLIA2 ke Pekanbaru, Riau.

 

Rajah 2. Perasmian aktiviti telah dilakukan oleh ketua projek, Dr Muhammad Heikal Ismail

 

 

Rajah 3. Para peserta mengambil kesempatan merakam kenangan bersama penyelidik dan pelajar UPM

 

 

Rajah 4. Projek komuniti antarabangsa hasil kolaborasi UPM, EMP Malacca Straits SA dan STKIP sambil disertai wartawan bertugas.

 

 

Rajah 5. Jawatankuasa pelaksanaan projek Riau AgriAqua

 

Rajah 6. Pasukan UPM bergambar kenangan bersama ahli jawatankuasa pelaksana.

 

Rajah 7. Penyelidik dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan yang diketuai oleh Dr. Muhammad Heikal Ismail ketika sedang melakukan demonstrasi dan menjawab pertanyaan penduduk.






 

 

 

 

 

 

Date of Input: 04/07/2019 | Updated: 04/07/2019 | amirahsyahira

MEDIA SHARING

FACULTY OF ENGINEERING
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696262
0397694488
SXEURAi~